JPJ dedah motosikal disewa hingga RM200 sebulan kepada warga asing

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan, khususnya motosikal disewakan kepada warga asing pada kadar RM100 hingga RM200 sebulan, sekali gus menjadi antara punca utama isu pemandu tanpa lesen terus berlarutan.
Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan, masalah itu masih berterusan disebabkan tindakan segelintir rakyat tempatan yang menyewakan kenderaan milik mereka kepada warga asing.
“Berdasarkan siasatan yang kita lakukan, perkara ini berterusan kerana terdapat segelintir rakyat Malaysia yang bekerjasama dengan pemandu warga asing.
“Mereka menyewa kenderaan milik rakyat Malaysia untuk digunakan di jalan raya. Kerjasama ini menyebabkan masalah ini terus berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Pewa di Pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Muhammad Kifli berkata, JPJ akan mengambil tindakan terhadap dua pihak iaitu pemandu warga asing terbabit serta pemilik kenderaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia.
“JPJ ingin memberi peringatan yang sangat tegas kepada semua rakyat Malaysia supaya jangan bekerjasama dan jangan memberi sewa kenderaan mereka kepada warga asing,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebanyakan pemandu warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki lesen memandu, selain kenderaan yang digunakan tidak mempunyai cukai jalan serta perlindungan insurans.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan, terutama motosikal, disewa pada kadar RM100 hingga RM200 sebulan menjadikan aktiviti ini terus berleluasa walaupun tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya.
Dalam operasi selama dua hari bermula Khamis di sekitar Kuala Lumpur, JPJ memeriksa sebanyak 566 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 61 kenderaan.
“Ia membabitkan 57 motosikal dan empat kereta yang digunakan sebagai pengangkutan persendirian oleh warga asing.
“Selain itu, 25 pemandu warga asing turut diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ringkasan AI
- JPJ mendapati motosikal disewakan kepada warga asing dengan kadar RM100 hingga RM200 sebulan menjadi punca isu pemandu tanpa lesen
- Pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan namun masalah berterusan disebabkan kerjasama rakyat tempatan menyewakan kenderaan kepada warga asing
- Segelintir rakyat Malaysia bekerjasama dengan pemandu warga asing menyebabkan masalah pemandu tanpa lesen terus berlaku
- JPJ akan mengambil tindakan terhadap pemandu warga asing dan pemilik kenderaan rakyat Malaysia yang terlibat
- Dalam operasi di Kuala Lumpur, JPJ memeriksa 566 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 61 kenderaan termasuk 57 motosikal serta empat kereta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
