Selangor sedia pinjamkan 500,000 dos vaksin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor bersedia meminjamkan lebihan 500,000 stok bekalan vaksin di negeri itu ke negeri lain yang mempunyai peningkatan kes harian Covid-19 tinggi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sudah menerima permohonan daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

"Maksudnya, (bekalan vaksin Selangor) kita berikan dalam bentuk pinjaman kepada negeri lain yang memerlukan dan akan dipulangkan dalam tempoh tertentu," katanya pada sidang akhbar secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom pada Khamis.

Amirudin berkata, kerajaan negeri Selangor sebelum ini telah menempah sebanyak 2.5 juta dos vaksin dengan membuat pembayaran sebanyak 1.2 juta bagi pelaksanaan program Selangor Vaksin (SelVAX).

"Selangor ada lebihan vaksin dan sebab itu kita benarkan ia digunakan bagi membantu beberapa negeri lain untuk mengelakkan masalah kekurangan pada waktu ini.

"Secara spontan CITF memaklumkan ada beberapa negeri memerlukan vaksin seperti di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah," jelas beliau.

Tambah Amirudin, beliau sudah berbincang mengenai perkara tersebut kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang meminta sokongan kerajaan negeri supaya membenarkan stok vaksin di Selangor disalurkan kepada CITF untuk dibawa ke negeri memerlukan.

"Di samping itu, kita mungkin boleh melaksanakan operasi penjualan kepada syarikat atau swasta yang memerlukan di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mempunyai petugas dari Selgate dan Selcare bagi membantu pelaksanaan proses vaksinasi di negeri terbabit sekiranya diperlukan," ujarnya.