Vaksin halal, usah pertikai lagi

Wan Azizah ketika bercakap kepada pemberita, hari ini.
Wan Azizah ketika bercakap kepada pemberita, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa ibu bapa agar berhenti mempersoalkan status suntikan vaksin imunisasi kerana ia sememangnya telah difatwakan sebagai halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, memandangkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sudah mengeluarkan fatwa bahawa vaksin yang dihasilkan di negara ini adalah halal dan telah mendapat kelulusan daripada semua pihak, maka, ia tidak lagi perlu menjadi pertikaian dan perdebatan oleh ibu bapa.

“Suntikan vaksin bertujuan mencegah penyakit berjangkit dan bahan asasnya telah melalui kajian terperinci. Namun, masih ada mempertikaikan apakah kesahihan halal atau tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan tertipu dengan hujah agama kumpulan antivaksin

“Jakim sudah keluarkan fatwa bahawa vaksin yang digunakan di negara kita adalah halal, ingatlah ia perisai pencegahan penyakit yang lebih mudarat. Jadi ibu bapa tidak perlu ragu, vaksinlah anak-anak anda,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian Yayasan Petronas, di sini, hari ini.

Menurut Wan Azizah, direkodkan pada 2017, liputan vaksin demam campak hanya 88 peratus, namun untuk kekebalan perlu ada sekurang-kurangnya 95 peratus perlindungan vaksinisasi.

“Jadi kita syor dan galakkan ibu bapa di Malaysia, jangan dengarlah dakyah kumpulan anti vaksin, mungkin ada satu atau dua kes tetapi percayalah vaksin adalah selamat,” serunya.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berkenaan tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap ibu bapa yang ingkar untuk memberikan vaksin kepada anak-anak mereka.

Artikel Berkaitan:

Wan Azizah mengulas mengenai kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bahawa pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Dzulkefly dilaporkan berkata, kementerian terbabit mendapat desakan kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Ia ekoran kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Johor yang meninggal dunia akibat jangkitan difteria dan mangsa tidak pernah menerima suntikan imunisasi sejak dilahirkan.

Selain itu, lima kanak-kanak turut disyaki positif jangkitan difteria dan ditahan di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Semua kanak-kanak berkenaan termasuk kakak kepada budak lelaki yang meninggal dunia, dikesan positif jangkitan difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Cadangan berkenaan juga disokong Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim) yang menyifatkan sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan suntikan vaksin imunisasi sebelum kanak-kanak menyertai alam persekolahan kerana ia sudah membabitkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

Sementara itu, kerajaan Johor turut menyokong cadangan terbabit kerana suntikan vaksin adalah perlindungan untuk kanak-kanak.