TMJ adakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura

Tunku Ismail ( kiri) mengadakan pertemuan dengan Lawrence Wong (kanan) di The Treasury pada Khamis. - Foto HRH Crown Prince of Johor
Tunku Ismail ( kiri) mengadakan pertemuan dengan Lawrence Wong (kanan) di The Treasury pada Khamis. - Foto HRH Crown Prince of Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meneruskan lawatan rasmi ke Singapura dengan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong di The Treasury pada Selasa.

Singapura adalah rakan kongsi ekonomi strategik kepada Johor dan mempunyai potensi untuk lebih banyak pertumbuhan masa depan.

Perbincangan turut ditumpukan kepada cadangan zon ekonomi khas (SEZ) Johor-Singapura untuk ditubuhkan di Johor dan untuk menambah baik lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara Singapura dan Johor.

Hadir sama, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salehuddin Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (BPEN) Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian negeri, Datuk Ashari Kasnan.

Turut hadir Ketua Pengarah, Direktorat Asia Tenggara I, Kementerian Luar Negeri Singapura, Catherine Wong; Ketua Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri, Joshua Lo ; Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru Jeevan Singh dan Timbalan Pengarah Direktorat Asia Tenggara I, Kementerian Luar Negeri Singapura, Ng Kuan Khai.

Tunku Ismail kini dalam lawatan rasmi di Singapura selama tiga hari sehingga Rabu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, lawatan rasmi tersebut dibuat atas undangan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Baginda ditemani isteri Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam serta pegawai istana dan pemimpin negeri.