‘Istana nak tahu SD dibuat secara sukarela atau di bawah tekanan’

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai rombongan untuk menaiki bas menuju ke Istana Negara dari Menara Dato' Onn, WTC hari ni.
 Foto Bernama
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai rombongan untuk menaiki bas menuju ke Istana Negara dari Menara Dato' Onn, WTC hari ni.
 Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan bahawa kehadiran ahli Parlimen ke Istana Negara pada Khamis bertujuan untuk mengesahkan surat perakuan sumpah (SD) yang ditandatangani.

“Saya difahamkan tujuan menghadap adalah untuk mengesahkan SD yang kita telah buat dua hari lepas di hadapan Seri Paduka Baginda. Adakah kita sukarela membuat akuan itu atau kita berada di bawah tekanan dan lain-lain.

“Jadi kalau untuk saya sendiri, tentulah saya sukarela mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan bahawa sesi menghadap antara ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Istana Negara dilakukan secara bersemuka dan maya sejak pagi Khamis.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau difahamkan jemputan untuk menghadap ke Istana Negara itu hanya diberikan kepada kumpulan ahli Parlimen yang menyokong calon Perdana Menteri dengan majoriti mencukupi.

“Saya difahamkan, sebelum ini hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja yang dijemput.

“Dengan lain perkataan lain, calon kedua dan mereka yang menyokong calon kedua itu, daripada maklumat yang saya ada, (mereka) tidak dijemput untuk hadir menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” ujar beliau.

Tempoh penyerahan SD mencalonkan Perdana Menteri kepada Istana Negara secara rasminya tamat pada 4 petang Rabu.

Artikel Berkaitan: