Banjir Kuala Muda: Dua Pusat Pemindahan Sementara ditutup

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memastikan kemudahan PPS Dewan UMNO Gurun mencukupi untuk menempatkan mangsa banjir.- Foto ihsan APM Kedah
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) memastikan kemudahan PPS Dewan UMNO Gurun mencukupi untuk menempatkan mangsa banjir.- Foto ihsan APM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir kilat di daerah Kuala Muda yang berpunca daripada kepala air Gunung Jerai, ditutup pada jam 10 pagi Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, dua PPS berkenaan adalah Dewan UMNO Gurun dan Surau Taman Lembah Merbok, yang sebelum ini menempatkan 42 mangsa daripada 16 buah keluarga.

Menurutnya, penduduk terlibat dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah paras air yang sebelum ini mencecah 1.5 meter mulai surut.

“PPS Dewan UMNO Gurun dibuka pada jam 6 petang Rabu menempatkan 20 mangsa, manakala PPS Surau Taman Lembah Merbok dibuka pada jam 9 malam menempatkan seramai 22 mangsa.

Sebelum ini, PPS dibuka di Taman Gurun Jaya sebelum berpindah ke Dewan UMNO Gurun, manakala PPS Surau Kampung Tupah berpindah ke Surau Taman Lembah Merbok,” katanya.

Azahar berkata, antara kawasan dinaiki air termasuk Kampung Baru, Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Kunyit Atas, Kampung Jelatang, Taman Sri Utama, Taman Jerai Harmoni serta belakang Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Gurun di mukim Gurun.

Bagi mukim Merbok pula melibatkan Kampung Tandop Batu dan Kampung Sungai Batu.

Dalam kejadian petang Rabu, hujan lebat lebih sejam di kawasan Sungai Merbok dan sekitar Tadahan Air Tupah, Gunung Jerai mengakibatkan limpahan air banjir.

Artikel Berkaitan: