'Terperangkap arus deras, hampir hanyut'- Siak Masjid

Mangsa banjir Ahmad Sharihuddin Hassan, 43,(kiri) bersama isterinya Yazatulrahida Yahya, 42 (kiri) mencuci rumah mereka yang dilanda banjir lumpur ketika ditemui di Kampung Seberang Pekan Yan di sini, hari ini. - Foto Bernama
Mangsa banjir Ahmad Sharihuddin Hassan, 43,(kiri) bersama isterinya Yazatulrahida Yahya, 42 (kiri) mencuci rumah mereka yang dilanda banjir lumpur ketika ditemui di Kampung Seberang Pekan Yan di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

YAN - Terperangkap dalam arus deras dan hampir hanyut menjadi pengalaman ngeri bagi seorang siak masjid dalam kejadian banjir besar yang berpunca daripada fenomena kepala air dari puncak Gunung Jerai di sini, petang semalam.

Ahmad Sharihuddin Hassan, 43, berkata selepas menunaikan solat asar berjemaah di Masjid Badlishah yang terletak di pekan Yan itu, dia mendapati paras air sungai berhampiran masjid berkenaan naik secara mendadak.

“Pada mulanya air keruh biasa saja, saya pergi alihkan motosikal ke tempat lebih tinggi dan kembali ke dalam dewan masjid untuk melihat keadaan barang-barang makanan yang disimpan di masjid untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dalam tempoh pandemik ini.

“Saya dan ahli-ahli masjid alihkan barangan itu agar lebih selamat, namun tidak menyangka keadaan di luar masjid sudah semakin buruk,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Pekan Yan di sini, pada Khamis.

Ketika keluar dari masjid, air sudah semakin ‘mengganas’ dengan keadaan arus deras luar biasa sebelum disusuli dengan air berlumpur.

“Saya tidak lagi mampu berjalan dan hampir dihanyutkan air yang kelihatan membuak-buak dan sangat mengerikan, sebelum diselamatkan anggota bomba yang kebetulan berada di kawasan berdekatan,” katanya.

Ahmad Sharihuddin sangat bersyukur kerana berjaya diselamatkan dan tidak dapat membayangkan nasibnya jika anggota keselamatan tidak berada di tempat kejadian kerana paras air meningkat dengan pantas.

Sementara itu, Yazatulrahida Yahya, 42, pula memberitahu dia dihubungi bapanya Yahya Basiron, 73, mengatakan bahawa rumah orang tuanya itu dinaiki air dan sama sekali tidak menyangka musibah kali ini sangat besar dan tidak pernah dialami penduduk sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingat banjir biasa, air naik sekejap dan surut. Namun, saya sangat terkejut apabila bonda saya pula hubungi dan beritahu air sudah naik sehingga paras dada dan barang-barang sudah tenggelam.

“Pada masa itu saya cuma fikirkan keselamatan ayah dan bonda saya dan bila sampai ke rumah mereka, saya menangis dan terkedu bila melihat keadaan sangat teruk dengan dipenuhi selut sehingga melebihi paras buku lali, sedangkan rumah ini agak tinggi,” katanya.

Yahya yang merupakan pesara tentera ketika ditemui meluahkan rasa syukur kerana selamat walaupun keadaan dalam keseluruhan rumahnya teruk dipenuhi lumpur dan pasrah dengan apa yang berlaku.

“Cuma pak cik rasa kasihan bila dengar ada yang masih hilang dan ada yang meninggal dunia, pak cik reda dengan ujian Allah ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa kampung di pekan ini mendapati, penduduk sudah mula membersihkan kawasan rumah masing-masing namun berhadapan kesukaran kerana dipenuhi selut tebal.

Beberapa sekolah turut terjejas termasuk Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam di sini yang dilihat melakukan kerja-kerja pembersihan menggunakan jentolak di pekarangan sekolah. -Bernama