Tawaran kepada Radamel Falcao hanya khabar angin: JDT

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kemungkinan JDT membawa masuk bekas bintang penyerang Colombia itu. - Gambar fail/REUTERS
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kemungkinan JDT membawa masuk bekas bintang penyerang Colombia itu. - Gambar fail/REUTERS
A
A
A

KELAB bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Rabu menjelaskan tidak membuat tawaran kepada penyerang kelab dari Turki Galatasaray, Radamel Falcao, bagi menyertai pasukan berkenaan, sebaliknya berita mengenai perkara itu hanya khabar angin semata-mata.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest berkata, kelab itu tidak berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk menandatangani pemain berstatus bintang atau marquee player antarabangsa berkenaan disebabkan pandemik Covid-19.

“Kami percaya bahawa kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap lebih baik dalam masa satu hingga dua tahun, untuk mendapatkan pemain-pemain sedemikian.

“Kami perlu lebih berhemat dalam perbelanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan,” kata Prest menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi JDT pada Rabu.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kemungkinan JDT membawa masuk bekas bintang penyerang Colombia itu, selepas sebuah portal sukan Turki menerusi Twitter mereka mendedahkan terdapat sebuah kelab popular Malaysia membuat permohonan untuk mendapatkan Falcao.

Falcao, 35, beraksi dengan Galatasaray sejak musim 2019/2020, merupakan pemain berprofil tinggi di Eropah dan pernah menyarung jersi kelab ternama termasuk Manchester United, Chelsea, Porto dan Atletico Madrid. - Bernama

Artikel Berkaitan: