Sabah perhalusi cadangan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri

Masidi (kiri) membincangkan sambutan Hari Kebangsaan bersama Tun Juhar.
Masidi (kiri) membincangkan sambutan Hari Kebangsaan bersama Tun Juhar.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah akan perhalusi cadangan pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang akan diadakan pada 31 Ogos ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia bagi menyesuaikan sambutan berkenaan dengan suasana pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Atas nasihat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, kita akan memperhalusi cadangan berkaitan perjalanan program dalam situasi semasa kes Covid-19 di negeri ini.

"Pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama Tun akan kita maklumkan kepada kabinet sebagai panduan dalam membuat keputusan akhir bagaimana acara sambutan itu dilaksanakan nanti," katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat terhadap Tun Juhar di Istana Negeri pada Rabu.

Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri memaklumkan kehadiran membabitkan 300 jemputan lengkap dua dos vaksin selain turut diminta melakukan ujian calitan Covid-19.

"Pada cadangan asal, kita menetapkan kehadiran 300 jemputan sahaja bagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2021 dan perlu melengkapkan dua dos vaksin.

"Jemputan juga perlu menjalani saringan kesihatan sebelum hadir ke program tersebut bagi memastikan mereka benar-benar dalam keadaan yang sihat dan perjalanan acara sambutan juga dihadkan tidak lebih dari satu jam," katanya.

Mengulas berhubung kunjungan beliau itu, ia adalah untuk memberi taklimat mengenai sambutan berkenaan serta meminta pandangan bagi pelaksanaan program dalam fasa pandemik ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jumlah kes yang mencecah angka sehingga 2,000 kes pada Selasa perlu diambil perhatian oleh masyarakat setempat dan melihat ia sebagai isyarat untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan jangkitan.