Projek pangsapuri 57 tingkat disyaki curi air

Siasatan di tapak pembinaan menemui sambungan secara terus dari paip utama Air Selangor ke tapak projek.
Siasatan di tapak pembinaan menemui sambungan secara terus dari paip utama Air Selangor ke tapak projek.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah tapak pembinaan dua blok pangsapuri 57 tingkat di Jalan Sentul Pasar di sini dikesan membuat penyambungan air secara haram.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi kenyataan di Facebook berkata, siasatan di tapak pembinaan itu menemui sambungan secara terus dari paip utama Pengurusan Air Selangor dengan menggunakan paip HDPE berukuran 32 milimeter.

Menurutnya, sambungan itu disyaki digunakan di tapak pembinaan dan penggunaan harian untuk pekerja warga asing.

"Tindakan pemotongan bekalan air yang diperoleh secara tidak sah itu telah diambil serta-merta.

"Kontraktor tapak pembinaan yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk memberi keterangan dan berdepan tindakan perundangan," menurut kenyataan itu pada Rabu.

SPAN berkata, pihaknya sentiasa komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

Jelasnya, kesalahan membuat penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang dari sesalur utama awam boleh disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sebarang aduan atau maklumat berkenaan penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang para pengguna boleh menyalurkannya melalui WhatsApp ke nombor 013-3885 000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.