Belanjawan Pahang 2027 tawar 181 inisiatif, 158 daripadanya bantuan untuk rakyat

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menyediakan sebanyak 181 inisiatif menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 dengan 158 daripadanya disalurkan di bawah Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBN Pahang).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, baki 23 inisiatif pula merangkumi program pembangunan yang dirangka bagi memacu kemajuan negeri.

Menurutnya, keseluruhan perancangan itu bertujuan memastikan manfaat belanjawan dapat dinikmati secara menyeluruh selain memperkukuh ekonomi dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

"Semua yang kita rangka dalam belanjawan ini adalah untuk memastikan akan dapat dikembalikan kepada rakyat, sekali gus meningkatkan pembangunan ekonomi serta memastikan kemakmuran Pahang dapat dinikmati secara inklusif oleh rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Belanjawan Negeri Pahang 2027 bertemakan 'Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan'.

Wan Rosdy memberitahu, kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.507 bilion, manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan berjumlah RM1.502 bilion bagi tahun 2027.

Jelasnya, kedudukan kewangan itu membolehkan Pahang mencatatkan lebihan belanjawan sebanyak RM5 juta.

Tambahnya, sebanyak RM454.4 juta disediakan bagi perbelanjaan pembangunan untuk membiayai pelbagai projek, program dan inisiatif yang dirancang.

"Pelaksanaan belanjawan berkenaan berpandukan enam teras utama iaitu memperkasa pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta modal insan; memacu pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan; serta memantapkan tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

"Tiga teras seterusnya ialah memperkukuh infrastruktur dan kemudahan asas rakyat; memelihara alam sekitar serta mengurus sumber negeri secara lestari; dan memperkukuh kesejahteraan rakyat," katanya.

Mengulas kemampuan kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif berkenaan, Wan Rosdy berkata, jumlah peruntukan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan semasa serta penelitian yang dibuat.

"Setakat hari ini dengan bajet yang ada, kita termampu setakat itu sahaja.

"Bajet ini kita buat dengan teliti dan kajian, bukan dengan sekelip mata teringat nak bagi, tidak. Kalau ekonomi kita berkembang dan pendapatan bertambah, ia akan jadi lebih besar lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!