Lukaku sedia robek gawang Arsenal

LUKAKU
LUKAKU
A
A
A

PENYERANG Chelsea, Romelu Lukaku sudah bersedia untuk tampil dalam debut keduanya bersama The Blues ketika menentang Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates pada Ahad.

Penyerang kelahiran Belgium itu juga mengakui gembira kerana Arsenal akan menjadi lawan pertamanya selepas kembali menyarung jersi Chelsea dan tekad menampilkan sentuhan penyudah berkualiti untuk membantu Chelsea melakar kemenangan.

"Saya sudah sedia dan ini hanyalah untuk masuk dalam pasukan dan cuba membuktikan kepada jurulatih bahawa saya diperlukan dalam pasukan. Kami semua perlu bersaing untuk mendapatkan kesebelasan utama.

"Bagi saya, ia akan menjadi cabaran baharu namun kami berjuang dengan satu matlamat iaitu untuk memastikan Chelsea menang. Saya pastikan dalam latihan saya beri 100 peratus dan bersedia untuk setiap perlawanan.

"Saya gembira kerana perlawanan pertama adalah menentang Arsenal dan sudah tentu saya harap dapat bersedia sepenuhnya dan memberikan keputusan yang baik kepada pasukan," katanya.

Lukaku dibeli oleh Chelsea dari Inter Milan dengan nilai £97 juta (RM567.08 juta) dan akan melakukan debut kedua bersama kelab itu selepas dia pernah bersama Chelsea pada musim 2011-2014.

Pada musim tersebut, Lukaku gagal menyinar bersama Chelsea sebelum dijual ke Everton pada 2014.

Dia kemudiannya menyertai Manchester United sebelum dibeli oleh Inter dan dia cemerlang di kelab tersebut dengan membantu pasukan memenangi kejuaraan Serie A sejak 11 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Lukaku juga menyedari harapan tinggi yang diletakkan oleh pengendali pasukan, Thomas Tuchel kepadanya dalam setiap perlawanan buat Chelsea.

"Tuchel mahu saya menjadi pemimpin dalam pasukan dan saya hanya perlu menggunakan semua kemampuan saya untuk memastikan saya dapat membantu pasukan sebanyak mungkin.

"Peranan saya akan bergantung pada apa rancangan permainan dan apa yang ingin dilakukan oleh Tuchel. Dua tahun di Itali membantu saya menguasai semua aspek permainan dan sekarang saya sudah bersedia," katanya.