MKT serah mandat pilih calon PM kepada 42 ahli Parlimen BN

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO memberi mandat kepada 42 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memuktamadkan seorang calon dari parti itu untuk diangkat sebagai perdana menteri.

Perkara itu diputuskan Majlis Kerta Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada malam Selasa.

Ahli MKT, Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, perjumpaan bersama ahli-ahli Parlimen tersebut turut disertai oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamdi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Sharkar Shamsuddin
Mohd Sharkar Shamsuddin

“Kita bersetuju untuk serah kepada ahli Parlimen BN untuk putuskan siapa calon perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato' Onn, di sini pada Selasa.

Antara Ahli Parlimen BN yang dilihat hadir adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk M Saravanan (Tapah).

Selain itu, turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Perkembangan ini susulan semua ahli Parlimen diarahkan menghantar surat akuan berkanun kepada Istana Negara dan menamakan calon Perdana Menteri kesembilan.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen diberikan masa sehingga jam 4 petang Rabu untuk menyerahkan surat akuan itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kol (Bersara) Nazim Mohd Alim melalui faks, e-mel atau dalam bentuk PDF di WhatsApp.