Wanita tikam paha kerana tertekan, bukan disamun

Gambar kecil: Zainal Mohamed
Gambar kecil: Zainal Mohamed
A
A
A

GOMBAK - Seorang wanita yang mendakwa dirinya dicederakan oleh penyamun dalam kejadian di Jalan 10, Taman Greenwood di sini pada Sabtu didapati membuat laporan palsu malah bertindak menikam sendiri pahanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan terperinci mendapati mangsa dengan sengaja mereka cerita berkenaan kejadian samun tersebut ketika membuat laporan.

“Mangsa menerima tujuh jahitan pada luka tikaman di paha kanan. Motif kejadian adalah mangsa mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga,” katannya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan berkenaan seorang wanita yang cedera di paha kanan akibat ditikam penyamun ketika memandu bersendirian dalam kejadian sekitar jam 4.24 petang di sini pada Sabtu.

Menurut laporan berkenaan, kejadian samun tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

Mengulas lanjut, Zainal berkata,k ertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan akan dituduh di mahkamah Selayang pada Rabu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita cedera di paha ditikam penyamun


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)

Artikel Berkaitan: