Kawalan pergerakan terus beri kesan kepada logistik Pos Malaysia

No Image Caption
A
A
A

KENANGA Research telah menggandakan kerugian bersih Pos Malaysia Bhd bagi anggaran tahun kewangan 2021 kepada RM226.5 juta berikutan kawalan pergerakan yang terus memberikan kesan kepada segmen pos dan logistiknya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangka kawalan pergerakan itu akan berakhir sepenuhnya pada Disember dan telah mengekalkan keuntungan bersih syarikat itu bagi anggaran tahun kewangan 2022 sebanyak RM62.2 juta susulan pemulihan pasca pandemik.

Oleh itu, ia mengekalkan penarafan ‘prestasi pasaran’ kepada Pos Malaysia dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.80.

Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021, kerugian bersih Pos Malaysia meningkat kepada RM120.1 juta berbanding anggaran kerugian bersih Kenanga untuk tahun penuh iaitu RM118.3 juta dan anggaran konsensus RM65.8 juta.

Kemerosotan prestasi itu adalah disebabkan penurunan jumlah mel dan bungkusan yang dikendalikan terutamanya daripada pelanggan kontrak yang terjejas akibat satu lagi pelaksanaan kawalan pergerakan mulai Jun 2021.

Bagaimanapun, keadaan ini diredakan oleh perolehan yang kukuh dalam segmen logistik daripada perniagaan barangan angkut dan automotif serta peningkatan perolehan bahagian penerbangan dengan sumbangan yang meningkat daripada gudang e-dagang dan kargo dan perniagaan pengendalian di lapangan yang mempunyai pengurusan kos lebih baik.

Mengenai prospek, Kenanga Research mengunjurkan perniagaan kurier akan bertambah baik susulan permintaan kepada e-dagang, namun akan terus beroperasi dalam persekitaran yang kompetitif akibat cabaran harga dan kos.

Pada jam 12.20 tengah hari, saham Pos Malaysia turun 2.5 sen kepada 78.5 sen dengan 1.86 juta saham diniagakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: