Pelajar UMK berjaya bangunkan perniagaan pakaian

Wan Nurul Aida Nazwa menggayakan pakaian wanita yang dijualnya.
Wan Nurul Aida Nazwa menggayakan pakaian wanita yang dijualnya.
A
A
A

KOTA BHARU - Kesibukan sebagai penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tidak menjadi halangan kepada seorang gadis untuk menjalankan perniagaan sendiri.

Pada usia 22 tahun, pelajar tahun dua Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Wan Nurul Aida Nazwa Wan Ahmad sudah memiliki sebuah syarikat menjual pakaian, Dwans Collection.

Menurut Wan Nurul Aida, komisen yang berbaloi berbanding usaha dilakukan sebagai ejen jualan pakaian mendorong dan menyuntik semangatnya membina perniagaan sendiri.

Katanya, bermodalkan RM500 simpanan sendiri, dia memulakan perniagaan itu dengan memperkenalkan satu koleksi pakaian hasil rekaan sendiri yang tidak disangka menarik minat pelanggan.

“Saya akan mengumpul pesanan daripada pelanggan secara pra-pesanan dan mendapat bayaran penuh apabila pakaian siap dan sampai kepada pelanggan.

“Dwans Collection mengetengahkan konsep fesyen kontemporari yang tampak eksklusif dan bersesuaian dengan penampilan wanita masa kini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kata anak kelahiran Machang itu, koleksinya dijual secara mampu milik iaitu dengan harga di bawah paras RM150 dan disasarkan kepada wanita dalam kalangan usia 18 hingga 35 tahun.

“Dalam tempoh setahun sasaran ditetapkan untuk memperolehi keuntungan RM10,000 dan berterusan setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Wan Nurul Aida Nazwa menunjukkan baju rekaannya sendiri yang dijual di bawah jenama Dwans Collection.
Wan Nurul Aida Nazwa menunjukkan baju rekaannya sendiri yang dijual di bawah jenama Dwans Collection.

“Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan banyak perniagaaan dan ramai gulung tikar, namun saya akan aktif mempromosi produk secara dalam talian iaitu menerusi Facebook, WhatsApp serta Instagram dengan tagline “Exclusive clothing in your own style”,” katanya.

Wan Nurul Aida turut menambah ilmu perniagaan dengan mengikuti pelbagai kursus dan bengkel.

“Walaupun saya masih menuntut di universiti tetapi saya tidak mudah berputus asa.

“Selain menitikberatkan kualiti pakaian, bimbingan dan tunjuk ajar daripada mentor iaitu pensyarah UMK amat membantu untuk saya menjadi peniaga berinovatif,” katanya.

Wan Nurul Aida menyimpan impian agar Dwans Collection membuka cawangan di seluruh negeri di Malaysia dan dapat menembusi pasaran luar negara seperti Thailand dan Indonesia.

“Dwans Collection semakin dikenali dan memberi peluang pekerjaan serta punca pendapatan sebagai ejen atau dropship.

“Saya mahu memantapkan strategi pemasaran dan pembangunan website perniagaan untuk mencapai sasaran RM100,000 pada tahun kedua perniagaan ini,” katanya.