Raih RM10,000 hari pertama kaunter pandu lalu JPJ dibuka

Penunggang motosikal, Wan Muhammad Abshar Wan Ahmad Shaipuddin menggunakan perkhidmatan Kaunter pandu lalu di Panji, Kota Bharu sambil dilihat Hanif Yusabra (dua dari kanan). - FOTO SINAR HARIAN
Penunggang motosikal, Wan Muhammad Abshar Wan Ahmad Shaipuddin menggunakan perkhidmatan Kaunter pandu lalu di Panji, Kota Bharu sambil dilihat Hanif Yusabra (dua dari kanan). - FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan memperoleh kutipan sebanyak RM10,000 menerusi pembayaran cukai jalan dan lesen memandu pada hari pertama kaunter pandu lalu dibuka di Ibu Pejabat JPJ di Panji di sini, pada Ahad.

Jumlah itu turut disasarkan meningkat kepada RM300,000 dalam tempoh seminggu menjelang tarikh akhir moratorium pada 30 September ini susulan ia dapat membantu memudahkan rakyat Kelantan membuat bayaran tanpa perlu hadir secara fizikal di kaunter JPJ.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kaunter pandu lalu itu diwujudkan untuk melancarkan urusan orang ramai memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM), lesen memandu Malaysia (LMM) dan lesen vokasional (GDL/PSV) bagi menggelak tindakan saman oleh JPJ bermula pada 1 Oktober depan.

Katanya, urusan pembayaran secara pandu lalu mengambil masa singkat iaitu antara tiga dan lima minit berbanding kaunter biasa yang lebih lama kerana perlu membuat janji temu terlebih dahulu.

“JPJ sedar rungutan orang ramai berkaitan kerumitan proses janji temu ketika musim Covid-19 serta pelanggan yang terlalu ramai menunggu giliran di kaunter biasa.

“Kaunter pandu lalu ini lebih memudahkan orang ramai kerana tidak perlu menunggu lama dan menggelakkan kesesakan di kaunter biasa,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau sebelum itu melawat lokasi menempatkan van yang diubah suai menjadi Kaunter Pandu Lalu JPJ di pekarangan JPJ Panji di sini.

Beliau berkata, pihaknya menerima 150 pelanggan di kaunter pandu lalu pada hari pertama pembukaan menerima maklum balas positif daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Kaunter dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang secara tunai manakala bayaran secara debit dibuka pada Khamis, Jumaat dan Sabtu.

“Kaunter selainnya dibuka di cawangan JPJ Kelantan iaitu di Machang, Gua Musang dan Pusat Transformasi Bandar (UTC),” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan terus membantu orang ramai untuk memudahkan urusan termasuk bagi pembayaran saman lalu-lintas.