KPM tangguh buka sekolah ke 3 Oktober

Sesi persekolahan secara bersemuka yang sepatutnya kembali dibuka 1 September, ditangguhkan ke 3 Oktober depan.
Sesi persekolahan secara bersemuka yang sepatutnya kembali dibuka 1 September, ditangguhkan ke 3 Oktober depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri-negeri dalam Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah pada 3 Oktober iaitu dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri-negeri dalam Fasa Satu PPN.

Beliau berkata, bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

“Ini adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)... jadi, kita tidak boleh menyatakan 1 September akan buka semua (sekolah). Keselamatan murid adalah keutamaan kerajaan.

“Sasaran dan hasrat kita pada 1 September (untuk pembukaan sekolah) namun tertakluk kepada penilaian risiko yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN dengan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan,” katanya menerusi video dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Ahad malam.

Radzi berkata, keadaan semasa negeri termasuk kadar vaksinasi dan kapasiti fasiliti kesihatan juga perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula sekolah dicapai.

Beliau berkata, keputusan akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pembukaan semula sekolah.

Radzi turut mengulas inisiatif bagi murid yang ketinggalan sekiranya sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi murid Tahun Satu dan Dua yang mungkin agak ketinggalan dari segi pembacaan literasi dan numerasi, kita sediakan program pembugaran bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum,” katanya.

Pada 17 Julai lalu, KPM memaklumkan ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah.

Bagaimanapun, KPM turut menyatakan bahawa penilaian risiko oleh KKM dan MKN diambil kira sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh itu.

Sementara itu, Radzi dalam hantaran berbeza memaklumkan sebanyak 102,352 peranti telah diagih kepada murid yang layak sehingga hari ini di bawah inisiatif Cerdik.

Beliau memaklumkan pengagihan baki 47,648 peranti lagi dijangka selesai sebelum akhir September 2021.

Cerdik adalah inisiatif perintis tanggungjawab sosial korporat syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan bagi membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan normal baharu pembelajaran secara dalam talian, e-pembelajaran serta bentuk lain pengajaran jarak jauh.

Status agihan peranti di bawah inisiatif yang diumumkan semasa Belanjawan 2021 itu sentiasa dikemas kini dan boleh disemak di laman inisiatif Cerdik https://www.cerdik.org/ms/deployment-tracker/. - Bernama