PDRM tumpas sindiket seludup manusia

Beberapa dokumen disyaki palsu berkait sindiket penyeludupan manusia dirampas dalam Ops Pintas sekitar Alor Setar pada Sabtu.
Beberapa dokumen disyaki palsu berkait sindiket penyeludupan manusia dirampas dalam Ops Pintas sekitar Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan satu sindiket penyeludupan manusia dengan penahanan 16 individu dalam empat serbuan berasingan di sekitar Alor Setar dalam Ops Pintas pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi tersebut, seramai 14 etnik Rohingya termasuk enam wanita ditahan dan beberapa dokumen disyaki palsu turut dirampas.

Kamarul Zaman berkata, selain itu turut ditahan dua kanak-kanak yang masing-masing berusia dua dan tiga tahun dipercayai anak kepada salah seorang etnik Rohignya terbabit.

"Hasil siasatan awal mendedahkan bahawa setiap migran dikenakan bayaran RM30,000 bagi membantu mereka menyusup masuk ke sempadan Malaysia dan RM2,000 untuk urusan perjalanan serta penyediaan dokumen palsu.

"Sindiket yang didalangi warga tempatan itu dipercayai telah mengaut keuntungan lebih RM500,000 telah bergiat aktif di bahagian utara tanah air sejak Januari tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, serbuan yang dijalankan hasil maklumat orang ramai itu telah berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan manusia dari negara jiran.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu penyeludupan manusia dan memiliki atau membuat dokumen palsu.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh hingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan ditahan di bawah siasatan Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA," jelasnya.

Justeru, beliau meminta orang awam yang memiliki maklumat mengenai kes ini diminta tampil menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM Kedah di talian 04-7741275 atau MERS 999 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Hairul Hartini Hairuddin di talian 013-5138329.