Kerjasama TNB, Elia dorong pertumbuhan RE, peralihan tenaga

Baharin Din
Baharin Din
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kali kedua pada 13 Ogos lalu dengan Elia Group SA/NV (Elia), salah satu daripada operator sistem penghantaran terbesar dan bereputasi tinggi di Eropah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, kerjasama strategik perkongsian amalan terbaik dan pengetahuan mendalam industri itu dapat mempercepatkan usaha ke arah Tenaga Diperbaharui (RE) serta peralihan tenaga.

Menurutnya, MoU 2.0 tersebut dimeterai pada waktu amat penting selepas TNB melakukan penjajaran semula pertengahan penggal.

“Ia bagi memastikan kumpulan sentiasa berada di landasan betul untuk menghadapi perubahan pantas dari sudut alam sekitar dan reformasi industri bekalan elektrik negara.

“TNB akan melabur dalam jumlah yang besar dalam bidang RE dan menetapkan fokus terhadap penjanaan rendah karbon selaras dengan aspirasi untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, TNB menerusi Bahagian Grid akan terus memberi keutamaan terhadap pelaburan dalam memodenkan grid kebangsaan agar ia menjadi grid masa hadapan.

“Iaitu grid yang kekal berdaya harap, berdaya tahan terhadap gangguan, pintar dengan teknologi digital serta fleksibel untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga negara,” katanya.

Beliau menambah, MoU baharu itu dimeterai berdasarkan MoU terdahulu, namun memberi penekanan yang lebih berstruktur terhadap usaha pelaksanaan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perjanjian itu merangkumi lima fokus utama iaitu kecemerlangan operasi, trend masa hadapan bagi syarikat utiliti, kerangka kawal selia, hala tuju baharu operasi sistem dan usaha sama perniagaan.

“Kedua-dua pihak akan berkongsi pengetahuan teknikal menerusi laporan tahunan dan kajian, penyelesaian permasalahan, lawatan pembelajaran dan teknikal serta program latihan yang perlu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Elia, Chris Peeters mengakui pihaknya dan TNB merupakan rakan sekutu yang berdepan cabaran serupa dan kedua-duanya komited terhadap peralihan tenaga selain giat berusaha ke arah mencapai strategi pertumbuhan antarabangsa.

Elia adalah operator sistem penghantaran yang beroperasi di Belgium dan Jerman yang berkhidmat kepada hampir 30 juta pelanggan dan memiliki lebih 19,000 km talian voltan tinggi selain memiliki lebih 45,000 megawatt (MW) kapasiti terpasang dalam tenaga boleh baharu.