Saya akan bekerja hingga ke garisan penamat: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saya akan terus bekerja sehingga ke garisan penamat, " kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkenaan ura-ura peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka pada Isnin.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau tidak dapat memastikan kesahihan perkara tersebut dan hanya mendengar isu itu melalui spekulasi yang bertebaran.

Bagaimanapun, beliau yakin Muhyiddin amat menghormati kedaulatan undang-undang dan akan bertindak berasaskan perkara yang termaktub dalam perlembagaan.

"Saya fikir elok tunggu saat dan masanya kerana pada saya itu prerogatif PM dengan mengambil kira segala perkembangan dan keadaan semasa dalam negara.

"Saya tidak boleh menyatakan ya atau tidak, saya juga dengar kepada semua spekulasi, dan itu hanya boleh disahkan apabila sampai masanya," katanya pada program imuniti kelompok Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Rumah Prihatin@Grand Seasons pada Ahad.

Mengulas status beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau akan menjalankan tugas seperti biasa membantu rakyat yang terhimpit ketika Covid-19.

"Saya telah diamanahkan oleh UMNO untuk bersama kerajaan sehingga Parlimen bubar, tapi kalau kerajaan yang terlebih dahulu bubar, saya pun sama juga.

"Saya akan bekerja sampai ke saat-saat terakhir. Saya tak berminat politiking, lebih baik saya tumpu kepada kerja-kerja yang memberikan faedah kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak pernah lihat rakyat susah dalam tempoh yang panjang disebabkan ancaman pandemik hingga menjejaskan ekonomi serta hilang pekerjaan. Jika isu pentadbiran tidak diselesaikan maka yang menanggung kesannya adalah rakyat," katanya.

Ditanya berkenaan laporan sebuah portal mengaitkan status di Twitter beliau memberikan bayangan sebagai hari terakhirnya berkhidmat, beliau menafikan dakwaan itu.

"Ada nampak saya seperti hari terakhir ke? Itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Bagi saya tiada istilah itu dalam berkhidmat kepada rakyat.

"Kalau ikutkan, hari minggu patutnya boleh rehat tetapi kita kerja macam biasa, spekulasi PM letak jawatan esok pun belum pasti, jadi baiklah kita bekerja seperti biasa," katanya.

Spekulasi PM bakal meletakkan jawatan mula bertebaran sejak Ahad susulan dakwaan Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengesahan dikeluarkan oleh Muhyiddin mahupun kepimpinan kerajaan atau parti mengenai perkara itu.