Letak jawatan PM jika mahu bentuk kerajaan minoriti

AZALINA OTHMAN SAID
AZALINA OTHMAN SAID
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri yang mendapat mandat daripada ahli-ahli Parlimen semasa pembentukan kerajaan campuran tidak boleh membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau adalah Perdana Menteri sebuah kerajaan minoriti selepas hilang sokongan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, apa yang perlu dilakukan ialah Perdana Menteri harus meletakkan jawatan terlebih dahulu seperti diperuntukkan dalam Perkara 43(4) Perlembagaan.

Tegas beliau, kerajaan minoriti yang tidak dibentuk dan dikendalikan dengan baik akan mudah tergugat dan tidak akan bertahan lama, sebaliknya akan menghadapi kesulitan dalam meluluskan rang undang-undang di Parlimen.

Katanya, ia sekali gus akan menjejaskan kebolehan kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara.

“Malah, dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak menyebut atau merujuk kepada kerajaan minoriti.

“Jika seorang ahli Parlimen tidak mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, ahli-ahli Parlimen boleh menawarkan diri sebagai Perdana Menteri," katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Sabtu.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, Artikel 43(2)(a) Perlembagaan juga tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong untuk mengundang mana-mana ahli Parlimen menawarkan diri sebagai ketua kerajaan, dengan syarat beliau mendapat mandat daripada majoriti ahli Parlimen.

“Penekanan yang diberikan di sini ialah usul itu seharusnya datang daripada ahli-ahli Parlimen dan bukan parti politik,” jelas beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom serta berpengalaman luas dalam bidang undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Azalina berkata, sekiranya tiada sesiapa di antara ahli Parlimen yang boleh mendapat mandat majoriti, seseorang ahli Parlimen itu boleh membawa tawaran kerajaan minoriti bersama bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan bersyarat melalui persetujuan ‘Confidence and Supply Agreement’ (CSA) atau Perjanjian Keyakinan dan Bekalan.

Jelas beliau, Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan atau mengkehendakkan Seri Paduka Baginda bertindak sebagai perunding atau orang tengah bagi pihak parti-parti politik membentuk sebuah kerajaan.

Sebaliknya, katanya, tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong adalah hanya untuk melantik seorang ahli Parlimen yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Kedua-dua langkah yang disebutkan di dalam perkara 3 di atas, berdasarkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 40(2) Perlembagaan di mana ahli Parlimen yang dipilih oleh jemaah ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri mempunyai keabsahan.

“Ini kerana, beliau memenuhi syarat dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Mengulas mengenai CSA, beliau menjelaskan, ia adalah perjanjian bertulis antara sebuah parti politik atau beberapa ahli Parlimen bersama kerajaan minoriti berkenaan apa-apa usul undi kepercayaan (keyakinan), rang undang-undang yang mustahak atau undi perbekalan atau bajet yang bakal dibentangkan dan diputuskan melalui proses pengundian di Dewan Rakyat kelak.

Katanya, kerajaan boleh menawarkan sejumlah wang (bekalan) sebagai peruntukan untuk kegunaan pusat khidmat rakyat di kawasan ahli-ahli Parlimen.

Sebagai balasan, katanya, ahli Parlimen tersebut wajib memberikan sokongan iaitu undi mereka terhadap Perdana Menteri apabila usul-usul dibentangkan seperti undi percaya yang akan dibentangkan ketika sesi Parlimen ke-14 pada September nanti.

Bagaimanapun, katanya, kesan perundangan yang paling ketara ialah kerajaan PN akan menjadi kerajaan minoriti yang pertama dalam sejarah Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan minoriti adalah sebuah kerajaan di mana kabinet menteri diketuai Perdana Menteri yang tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat, dan keabsahan seorang Perdana Menteri kerajaan minoriti amat bergantung pada perjanjian-perjanjian CSA.

“Ia berbeza dengan kerajaan campuran kerana terbentuk apabila adanya parti-parti politik yang bersetuju untuk bergabung, di mana jumlah bilangan ahli Parlimen cukup untuk membuktikan bahawa kerajaan campuran ini mempunyai mandat majoriti.

“Kerajaan campuran berlandaskan dasar dan agenda bersama yang terkandung dalam suatu perjanjian bertulis. Ahli-ahli Parlimen mewakili parti-parti dalam kerajaan campuran mempunyai kewajipan menyokong semua rang undang-undang yang dibentangkan kerajaan dalam Parlimen, seperti mana telah disepakatkan dalam perjanjian bertulis tersebut,” ujarnya.