Pegawai menteri mula kemas pejabat

Beberapa pegawai menteri sudah mula mengemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat masing-masing pada Sabtu. Gambar hiasan
Beberapa pegawai menteri sudah mula mengemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat masing-masing pada Sabtu. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pegawai menteri sudah mula mengemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat masing-masing pada Sabtu.

Difahamkan, ada yang sudah berbuat demikian sejak UMNO mengumumkan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Seorang pegawai menteri berkata, beliau sudah mengemas barang-barang sejak kemelut politik melanda negara beberapa minggu lalu.

"Sebelum UMNO tarik sokongan lagi saya sudah kemas barang-barang dan hanya tinggal sedikit di pejabat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, seorang lagi pegawai ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp berkata, beliau juga sedang mengemas pejabat, namun tidak mengulas lanjut.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin berusaha untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri dengan menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Pada masa sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Perutusan khas itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.