Pemuda Amanah gesa SPRM siasat Muhyiddin

Barisan kepimpinan Pemuda Amanah Johor membuat laporan polis terhadap Muhyiddin di Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara, Johor Bahru pada Sabtu.
Barisan kepimpinan Pemuda Amanah Johor membuat laporan polis terhadap Muhyiddin di Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan tawaran bersifat sogokan kepada pembangkang dalam perutusan khas pada Jumaat.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Mohd Azam Mektar berkata, tawaran Muhyiddin itu jelas sekali menyalahi Akta SPRM 2009.

"Muhyiddin secara terbuka menawarkan pelbagai tawaran politik dan imbuhan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bagi pihak pembangkang dengan tujuan menyokong beliau untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

"Beliau mengaku tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri tetapi masih kekal sebagai Perdana Menteri kerana menurutnya tiada ahli Dewan Rakyat lain mempunyai sokongan majoriti untuk dipilih sebagai Perdana Menteri pada ketika ini.

"Kenyataan ini adalah tidak benar dan mengelirukan rakyat kerana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menghendaki Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mendapat keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan tawaran tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurut beliau, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, kenyataan Perdana Menteri itu jelas bercanggah dengan kenyataan terdahulu pada 4 Ogos lalu yang menyatakan mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Justeru itu, saya membuat laporan ini supaya polis dapat membuat siasatan dengan segera ke atas Muhyiddin atas perbuatan yang menyalahi Akta SPRM 2009.

"Ini kerana beliau melakukan tindakan yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen dan boleh disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan kesalahan tersebut," ujarnya.