Muhyiddin disaran siap sedia jadi ketua pembangkang: AMK Kedah

Mohammed Firdaus Johari
Mohammed Firdaus Johari
A
A
A

ALOR SETAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyarankan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersiap sedia untuk menjadi ketua pembangkang kerana beliau bukan lagi pemimpin nombor satu negara yang sah.

Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari berkata, sehubungan itu Muhyiddin perlu meletakkan jawatan secara sukarela atau bersara daripada politik.

Menurut beliau, ini kerana tindakan Muhyiddin membuat pelbagai tawaran berbentuk sogokan kepada seluruh ahli Dewan Rakyat adalah semata-mata bagi mendapatkan sokongan untuk membolehkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

“AMK Kedah kesal kerana ruang ucapan khas Muhyiddin pada Jumaat hanya digunakan sepenuhnya untuk berpolitik. Kami juga mengecam tindakan beliau membuat tawaran kepada ketua pembangkang untuk diberikan saraan dan kemudahan setara dengan seorang menteri kanan,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Sabtu.

Mohammed Firdaus berkata, Muhyiddin sendiri mengakui beliau mempunyai kelemahan dan kekurangan ketika berucap dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan itu.

“Paling mengejutkan beliau menyatakan sehingga saat ini tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Perdana Menteri baharu.

"Ini sekaligus mengesahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Mohammed Firdaus, Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya bukanlah pilihan terbaik buat masa ini.

"Namun apa yang ingin disampaikan adalah Muhyiddin seolah-olah merampas kuasa dan mendahului tugas Yang di-Pertuan Agong. Di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan, Seri Paduka Baginda bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Mohammed Firdaus turut melahirkan rasa kecewa kerana di saat rakyat dan petugas barisan hadapan tertunggu-tunggu sebarang pengumuman penting berkenaan pakej bantuan atau inisiatif kerajaan bagi menangani penularan wabak Covid-19, sebaliknya rakyat disajikan dengan helah politik.

“Ternyata apa yang diharapkan oleh rakyat tidak berlaku dan jauh meleset,” katanya.