Azizulhasni kongsi rahsia jiwa tenang

Mohd Azizulhasni Awang
Mohd Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH lumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkongsi rahsia kejayaannya yang sempat khatam al-Quran dua hari sebelum meraih pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berakhir pada Ahad lalu.

Menurut pelumba berusia 33 tahun itu, membaca al-Quran membuatkan beliau lebih tenang terutama apabila menghadapi tekanan tinggi sebelum berangkat ke Jepun.

“Pergi ke kejohanan dengan tekanan besar bukan satu urusan yang mudah, apatah lagi bertanding di temasya terbesar di dunia.

“Apabila kita menggalas harapan besar yang diberikan, ianya umpama ada suatu bebanan di atas kepala serta seluruh badan yang kita bawa ke mana-mana.

“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapi situasi-situasi yang extreme ini? Jawapan saya adalah al-Quran,” katanya menerusi laman Facebooknya pada Jumaat.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu tersebut memberitahu misinya untuk cuba mengkhatamkan al-Quran itu sudah dimulakan sejak berada di kem latihan di Nilai, bulan lepas.

“Tapi maklumlah, latihan sangatlah teruk waktu itu ditambah kesibukan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan. Tetapi selepas tamat saja kem latihan dan terbang ke Tokyo ia berikan saya lebih ruang untuk baca al-Quran.

“Bermula di atas kapal terbang menuju ke Tokyo, saya tidak mensia-siakan waktu yang ada. Separuh perjalanan saya luangkan dengan bacaan.

Artikel Berkaitan:

“Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tip kerohanian,” katanya.

Bagaimanapun, juara dunia keirin 2017 itu mengakui terdapat banyak dugaan, malah seperti ada ‘bisikan’ yang cuba mematahkan semangatnya setiap kali ingin memulakan bacaan al-Quran.

Namun kata Azizulhasni, ketika membaca al-Quran dirinya ibarat seperti berada di ‘dunia vakum’ tanpa memikirkan perkara lain.