KPLB sedia gerak aset bantu percepat vaksin sebelum tengkujuh

Abdul Rahman membantu warga emas berkerusi roda Abu Kassim Rah, 84, menerima suntikan di PPV Covid-19 Negeri Pahang Daerah Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, pada Jumaat. - Foto Bernama
Abdul Rahman membantu warga emas berkerusi roda Abu Kassim Rah, 84, menerima suntikan di PPV Covid-19 Negeri Pahang Daerah Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

LIPIS - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedia menggerakkan aset dan fasiliti miliknya bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi Covid-19 di negeri-negeri pantai timur yang akan menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia sebagai sokongan kepada usaha menyelesaikan vaksin seawal mungkin memandangkan musim tengkujuh boleh bermula seawal November.

"Kita mempunyai banyak kemudahan seperti dewan kecil atau dewan terbuka di luar bandar yang sesuai dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kerana lebih mudah untuk penduduk di situ hadir mendapatkan suntikan mereka.

"... paling berkesan ialah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang ada di hampir setiap kampung dan kakitangan mereka juga boleh digerakkan bagi membantu melancarkan perjalanan program vaksin," katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian semasa ditemui di PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Jumaat.

Selain dewan dan bangunan Kemas, turut sedia digunakan adalah aset Lembaga Kemajuan Wilayah negeri yang berisiko banjir seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Selain negeri pantai timur, Abdul Rahman berkata, usaha itu juga boleh dilakukan di negeri yang masih rendah peratusan pemberian vaksin seperti Sabah, Johor dan Kedah.

Sementara itu, mengulas mengenai program pada Jumaat, Abdul Rahman berkata, seramai 1,458 penduduk Lipis menerima suntikan vaksin Covid-19 di tiga lokasi PPV iaitu di Kuala Lipis, Benda dan Padang Tengku. - Bernama

Artikel Berkaitan: