X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Kastam patahkan cubaan seludup cerut, beras putih

Cerut dan beras putih yang dirampas kastam di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 5 Ogos lalu. (Mohon blurkan jenama barang yang dirampas)
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas produk tembakau disyaki cerut dan beras putih bernilai RM101,175 yang cuba diseludup di Pelabuhan Barat, di sini pada 5 Ogos lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, bertindak atas maklumat risikan, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) berjaya mematahkan cubaan menyeludup itu melalui sebuah kontena.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemui dua dagangan yang dipercayai tidak berkastam iaitu produk tembakau yang disyaki cerut di mana pengimportannya memerlukan kelulusan daripada Ketua Pengarah Kastam.

"Dagangan kedua pula disyaki beras putih dan pengimportannya memerlukan permit import daripada Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Zazuli berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM101,175 membabitkan jumlah cukai dan duti berjumlah RM2,694,740.

"Berdasarkan maklumat di dalam Bill of Lading, dagangan tersebut diikrarkan sebagai ‘general merchandise’ dari negara jiran dan wakil perkapalan telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan fizikal telah dibuat dan mendapati dagangan yang ditemui adalah berbeza seperti yang dinyatakan iaitu produk tembakau yang disyaki cerut dan beras putih.

"Beras putih tersebut diletakkan di bahagian belakang muatan kontena dan bahagian hadapan diletakkan barangan berkotak bertutup yang mengandungi cerut bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, kes itu masih dalam siasatan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya.

"Wakil syarikat perkapalan telah hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!