Perkukuh pemangkin transformasi Tabung Haji

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis akan menjadi pemangkin kepada transformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, usaha dan langkah perlu diambil bagi mendepani persekitaran global yang semakin kompetitif walaupun GLIC telah menjadi tonggak pembangunan ekonomi Malaysia sejak enam dekad lalu.

“Perkukuh adalah platform tepat bagi Malaysia menghadapi krisis masa kini. Tidak dinafikan pandemik Covid-19 memberi cabaran hebat namun kita telah mengatasi pelbagai cabaran ekonomi sebelum ini.

“Kini sudah tiba masanya GLIC menerajui fasa transformasi baharu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Amrin berkata, Perkukuh turut memberi peluang untuk TH menyusun semula dan memperkukuh urus tadbir serta kedudukan kewangan.

Menurutnya, sebagai satu-satunya pengurus perkhidmatan haji Malaysia, TH telah meluaskan skop kepakarannya dengan membantu 1.5 juta rakyat Malaysia menunaikan haji sejak 1963 dan diiktiraf di peringkat dunia sebagai perkhidmatan haji cemerlang.

“TH juga memiliki pengalaman dan kepakaran 58 tahun dalam bidang syariah merangkumi aspek operasi serta pelaburan.

“Inisiatif ini bertujuan menguatkan fokus dan memberi penekanan terhadap mandat khusus bagi dana kekayaan berdaulat serta institusi pelaburan rakyat, termasuk TH.

Artikel Berkaitan:

“TH akan melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan aspek tadbir urus dan kawalan untuk melindungi TH dan pendeposit, menambah baik operasi dan kecekapan serta menjana keuntungan dan pulangan berterusan kepada pendeposit bagi memastikan kelangsungan kewangan,” jelasnya.