Pickleball bukan sukan santai - Pakar

A
A
A

"Pickleball sebenarnya memerlukan banyak pergerakan mengejut, pergerakan ke sisi (lateral) dan ketangkasan.” -Dr Jasmiza

Pickleball semakin popular kerana dianggap mudah dan santai, namun orang ramai diingatkan agar tidak memandang ringan tuntutan fizikal sukan tersebut sehingga mengabaikan aspek keselamatan.

Pakar Perubatan Sukan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme berkata, persepsi bahawa pickleball ialah sukan berintensiti rendah berpunca daripada saiz gelanggang yang kecil, penggunaan bola ringan dan pergerakan yang kelihatan perlahan serta sering dimainkan bersama keluarga atau rakan.

Bagaimanapun, katanya, anggapan itu menyebabkan ramai pemain tidak membuat persediaan fizikal sehingga mengakibatkan pelbagai kecederaan.

"Pickleball sebenarnya memerlukan banyak pergerakan mengejut, pergerakan ke sisi (lateral) dan ketangkasan.

"Individu yang tiada kecergasan asas (basic fitness) atau kurang kekuatan otot mudah mengalami kecederaan akibat pergerakan explosive secara tiba-tiba.

"Selain faktor fizikal, penggunaan kasut jogging berbanding kasut gelanggang meningkatkan risiko pergelangan kaki terseliuh, otot betis koyak serta kecederaan ligamen lutut seperti Ligamen Anterior Cruciate (ACL)," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, faktor overuse atau bermain melebihi dua hingga tiga jam dalam satu sesi turut meningkatkan risiko kecederaan serius pada lutut, ACL dan meniscus apabila badan mula keletihan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai golongan Weekend Warrior iaitu individu yang hanya bersukan pada hujung minggu, Dr Jasmiza berkata, mereka lebih mudah cedera kerana tidak melakukan latihan pengukuhan atau latihan kardio pada hari biasa.

Katanya, tanpa kekuatan otot paha dan otot teras, risiko kecederaan meningkat.

Dr Jasmiza menunjukkan model sendi lutut ketika menerangkan risiko kecederaan ligamen dan meniskus dalam kalangan pemain pickleball yang kurang membuat persediaan fizikal.
Dr Jasmiza menunjukkan model sendi lutut ketika menerangkan risiko kecederaan ligamen dan meniskus dalam kalangan pemain pickleball yang kurang membuat persediaan fizikal.

Beliau turut mengingatkan pemain supaya membezakan antara lenguh otot biasa atau Delayed Onset Muscle Soreness (DOMS) dengan kecederaan sebenar.

"DOMS ialah proses normal pembentukan otot baharu yang berlaku antara 48 hingga 72 jam selepas bersenam.

"Namun, jika kesakitan berlarutan melebihi tiga hari hingga seminggu serta disertai bengkak, lebam atau kehilangan fungsi sendi, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan," katanya.

Dr Jasmiza berkata, ultrasound muskuloskeletal berfungsi seperti stetoskop bagi pakar perubatan sukan untuk mengesan kecederaan.

Katanya, kaedah itu lebih murah berbanding Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), boleh dilakukan serta-merta dan membolehkan dynamic ultrasound digunakan bagi melihat fungsi pergerakan otot secara langsung.

"Kebanyakan kecederaan sukan boleh dirawat tanpa pembedahan, kecuali kes serius seperti complete tear ACL atau kecederaan meniscus yang teruk.

"Bergantung kepada jenis dan tahap kecederaan, rawatan tanpa pembedahan boleh dipertimbangkan, termasuk fisioterapi serta suntikan berpandukan ultrasound (ultrasound-guided injection) seperti prolotherapy dan platelet-rich plasma therapy (PRP), berdasarkan penilaian klinikal dan kesesuaian setiap pesakit," katanya.

Beliau berkata, pemain hanya boleh kembali beraksi selepas bebas daripada kesakitan, mempunyai julat pergerakan normal, kekuatan otot mencapai 90 peratus serta mampu berlari dan melompat.

Jangan abaikan isyarat badan

Menyentuh insiden rebah atau kematian mengejut ketika bersukan, Dr Jasmiza menggesa orang ramai supaya tidak mengabaikan isyarat badan.

Beliau menyarankan tiga langkah utama iaitu menjalani pemeriksaan perubatan sebelum kembali aktif bersukan, mengelakkan bermain secara agresif ketika badan terlalu letih terutama pada waktu tengah malam serta memastikan alat Automated External Defibrillator (AED) disediakan.

Menurutnya, penggunaan awal AED bersama bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) mampu menyelamatkan mangsa cardiac arrest.

Beliau berkata, sakit dada berterusan di sebelah kiri, rasa ditindih atau berat, sakit yang merebak ke lengan kiri atau rahang serta sesak nafas luar biasa tidak boleh dipandang ringan.

"Sekiranya terdapat individu yang jatuh dan rebah secara tiba-tiba tanpa sebarang pelanggaran, ia perlu dianggap sebagai kes berkaitan jantung.

"Ambulans mesti dipanggil segera dan bantuan awal CPR perlu diberikan," katanya.

Sebagai persediaan kepada mereka yang mahu mula atau kembali bersukan selepas berehat lama, Dr Jasmiza menyarankan orang ramai mengamalkan strategi pemulihan, pemakanan seimbang dan tidur berkualiti enam hingga lapan jam setiap malam.

Berdasarkan pengalamannya menjaga atlet elit dalam sukan berprestasi tinggi seperti berbasikal, ragbi, bola sepak, badminton dan olahraga, beliau berkata, pemain rekreasi juga boleh menerapkan beberapa amalan yang diamalkan dalam kalangan atlet profesional.

"Mereka disarankan untuk menjalani ujian kesihatan, melakukan latihan pengukuhan otot satu hingga dua kali seminggu, menggunakan court shoes, menghadkan permainan kepada maksimum dua jam setiap sesi dan tiga kali seminggu serta melakukan pemanasan badan sebelum bermain," tambahnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!