Dua beradik maut: 'Dia tanya keadaan dua lagi beradik tapi kami belum sedia nak beritahu' - Kakak mangsa

IPOH - Murid Tahun Enam yang terselamat dalam nahas dua kenderaan di Jalan Perpaduan, Tambun pada Jumaat masih belum mengetahui adik dan kakaknya telah meninggal dunia dalam kejadian itu.
Norhayati Qaliesha Ibrahim,12, yang cedera parah dilaporkan masih kritikal dan ditempatkan di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu mengorbankan kakaknya, Elyana Nasuha, 19, bersama adik perempuan, Suhaila, 10, selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta.
Ketika kejadian, Elyana Nasuha yang merupakan pekerja swasta dalam perjalanan menghantar dua adiknya itu ke sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Dermawan.
Kakak sulung mangsa, Nurul Aeina, 28, berkata, adiknya itu perlu menjalani pembedahan melibatkan bahagian rahang dan hati.

"Dia sedar dan ada tanya keadaan dua lagi beradik, tetapi kami belum sedia nak beritahu lagi," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bagus di sini pada Jumaat.
Nurul Aeina yang sarat mengandung lapan bulan berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan guru sekolah kira-kira jam 8 pagi.
"Saya terus ke lokasi dan di situlah baru tahu keadaan sebenar adik-adik," katanya.
Menurutnya, kebiasaannya, Norhayati dan Suhaila dihantar ke sekolah oleh suaminya, Norhanizam Muhammad Yusri, 28, namun pada hari kejadian, Elyana Nasuha mengambil tanggungjawab tersebut.
"Kami baru berpindah ke sini kira-kira dua bulan lalu. Memang dalam proses untuk tukar sekolah kerana sekolah mereka sekarang berada agak jauh dari kediaman baharu ini," katanya.
Tambahnya, sebelum kejadian, tiada perubahan ketara ditunjukkan mangsa, namun mereka dilihat lebih ceria berbanding hari-hari biasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, keluarganya reda dengan kehilangan tersebut walaupun masih bersedih, lebih-lebih lagi selepas kehilangan bapa pada 2014.
"Kami 10 beradik dan sebagai anak sulung, saya ambil tanggungjawab jaga adik-adik di sini," katanya sambil memaklumkan ibu mereka menetap di kampung halaman di Pahang.
Jenazah dua beradik berkenaan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun pada jam 6.30 petang pada Jumaat dengan pengurusan dibantu sepenuhnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun menyumbangkan bantuan awal sebanyak RM2,000 kepada waris keluarga.
Sumbangan itu disampaikan Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Muhammad Izzudin Hariz Bohari dan Ashraf Kahasani.
"Perdana Menteri menghubungi, menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa dan minta kita berikan sumbangan terus kepada waris sebagai sokongan moral juga untuk membantu meringankan beban," kata Ashraf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

