Malaysia sedia hantar semula MALBATT ke Lubnan jika diberi mandat PBB - Khaled Nordin

KOTA TINGGI - Malaysia bersedia menghantar semula Batalion Malaysian (MALBATT) ke Lubnan selepas perkhidmatan pasukan itu berakhir penghujung Disember ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut tertakluk sekiranya Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan mandat baharu di negara yang berdepan konflik berkenaan.
Menurutnya, negara tidak akan menyertai sebarang operasi ketenteraan termasuk sebagai pasukan pengaman jika tiada mandat di bawah naungan badan dunia berkenaan.
“Keputusan dibuat susulan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Lubnan yang memaklumkan keadaan keselamatan terutama di selatan negara itu masih belum benar-benar aman dan terdedah kepada pelbagai ancaman.
“Lubnan kini sedang berusaha mendapatkan pendekatan dan kaedah alternatif daripada PBB bagi memastikan usaha mengekalkan keamanan di kawasan berkenaan dapat diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Asrama Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan penugasan MALBATT 850-13 di Kem Marakah, selatan Lubnan merupakan kontinjen terakhir ATM di bawah UNIFIL, sekali gus menandakan penghujung hampir dua dekad penglibatan Malaysia dalam misi pengaman antarabangsa di negara itu sejak 2007.
Kehadiran ATM di bumi Lubnan di bawah misi UNIFIL mencerminkan pendirian Malaysia dalam menyumbang kepada usaha keamanan dan kestabilan antarabangsa.
Mohamed Khaled memberitahu, MALBATT bukan sahaja memainkan peranan dalam usaha mengekalkan keamanan, malah turut menyantuni masyarakat Lubnan di kawasan pengawasan pasukan berkenaan.
“Mereka sangat-sangat mesra dengan anggota-anggota kita dan tentunya mereka menyatakan rasa kehilangan apabila kita sudah tidak lagi berada di sana,” ujarnya.
Jelas beliau, anggota tentera Malaysia dijangka mula meninggalkan Lubnan pada Januari depan manakala aset-aset pasukan akan dibawa pulang secara berperingkat melalui kapal bermula 17 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
