Jawatan sektor ekonomi turun 0.4 peratus

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah jawatan di sektor ekonomi berkurang 0.4 peratus kepada 8.35 juta pada suku tahun kedua 2021 berbanding 8.38 juta pada suku yang sama 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut menunjukkan momentum pemulihan yang tidak menentu dalam permintaan buruh akibat krisis kesihatan yang berpanjangan dan langkah pencegahan yang dilaksanakan sejak Mac 2020.

Menurut beliau, langkah pencegahan yang lebih ketat mulai pertengahan Mei mengehadkan waktu operasi perniagaan dan hanya perkhidmatan penting dibenarkan.

“Ini seterusnya digambarkan oleh penurunan sebanyak 0.5 peratus jawatan diisi yang merekodkan 8.17 juta jawatan pada suku kedua tahun 2021.

“Pada suku kedua tahun ini, bilangan kekosongan jawatan di sektor ekonomi sebanyak 178,000 meningkat 5.0 peratus disebabkan oleh asas bilangan yang rendah direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, bilangan kekosongan jawatan itu juga kekal lebih rendah daripada purata 200,000 kekosongan jawatan yang direkodkan sebelum krisis.

Ujar beliau, kedua-dua kadar pengisian jawatan dan kekosongan jawatan masing-masing kekal pada 97.9 dan 2.1 peratus.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, hampir semua sektor mencatatkan trend penurunan kecuali sektor pembuatan yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus dengan 2.16 juta jawatan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, lebih separuh daripada jawatan tertumpu di sektor perkhidmatan (52.4 peratus), diikuti pembuatan (26.4 peratus) dan pembinaan (14.9 peratus).

“Selebihnya iaitu 6.3 peratus sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kebanyakan jawatan adalah di sektor pembuatan iaitu sebanyak 100,100 kekosongan dengan 56.2 peratus.

Menurutnya, sebahagian besar adalah di sektor produk elektrik, elektronik dan optikal (31,600) diikuti oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,800).

“Bagi sektor pertanian dengan sejumlah 29,200 kekosongan jawatan (16.4 peratus) terutamanya di subsektor tanaman dan ternakan.

“Sektor perkhidmatan merekodkan 27,600 kekosongan jawatan (15.5 peratus) terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit,” jelasnya.

Katanya, permintaan buruh di sektor ekonomi pada suku ini masih kekal dengan trend menurun berikutan operasi perniagaan belum pulih sepenuhnya selaras dengan situasi semasa krisis kesihatan awam.

Bagaimanapun, pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan akan membantu meringankan beban perniagaan dan seterusnya mengekalkan guna tenaga dalam ekonomi.

“Perkembangan positif kadar vaksinasi seperti mana yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), akan membolehkan perniagaan memperoleh impak yang lebih memberangsangkan.

“Seterusnya meningkatkan momentum pemulihan permintaan buruh di Malaysia,” ujarnya.