Skim Pos Rider dihentikan secara berperingkat

Pos Malaysia menyediakan perkhidmatan bagasi kepada rakyat Malaysia untuk memberikan kemudahan kepada mereka.
Pos Malaysia menyediakan perkhidmatan bagasi kepada rakyat Malaysia untuk memberikan kemudahan kepada mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Pos Malaysia akan menjalankan fasa kedua pelaksanaan rasionalisasi program khidmat luaran Pos Rider berkuatkuasa pada 1 September 2021.

Menurut kenyataan Pos Malaysia, proses rasionalisasi di bawah fasa kedua akan melibatkan 262 ejen Pos Rider di Lembah Klang.

“Program Pos Rider telah diperkenalkan pada tahun 2019 dan berjaya membantu Pos Malaysia menyampaikan lebih banyak bungkusan di seluruh Malaysia.

“Namun, pasaran pos dan kurier domestik telah melalui perubahan di mana jumlah mel terus menurun dengan begitu ketara, manakala pemain e-dagang pula telah mula menawarkan khidmat penghantaran,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Kata kenyataan itu, operasi Pos Malaysia dikaji semula dan mendorong kepada keputusan untuk menghentikan skim Pos Rider secara berperingkat.

“Bagaimanapun bagi menghargai perkhidmatan bekas-bekas pekerja Pos Rider, Pos Malaysia akan memberi keutamaan kepada ejen-ejen ini untuk khidmat sambilan sekiranya ada peningkatan terhadap permintaan penghantaran bungkusan.

“Ini dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila bekas Pos Rider dapat menjana pendapatan tambahan, manakala Pos Malaysia dapat mengekalkan kecekapan kos,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, peningkatan permintaan sepanjang tahun biasanya berlaku semasa jualan sempena perayaan dan jualan tarikh khas anjuran pelbagai peniaga.

Artikel Berkaitan:

“Pos Malaysia akan terus meneliti strategi perniagaan, kos dan sumber apabila perlu bagi memastikan daya maju dan kemampanan perniagaan.

“Ini adalah penting sepanjang pandemik kerana kesan daripada pergerakan yang terhad dan operasi yang terbatas dihadapi oleh kesemua segmen perniagaan,” tambah kenyataan itu.