Lagi lapan lokaliti di Sabah dikenakan PKPD

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak lapan lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Jumaat ini hingga 26 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, PKPD di lapan lokaliti itu membabitkan tiga di Tawau iaitu Kampung Kongsi 8, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik dan PPR Taman Sri Apas Batu 8.

“Lokaliti lain adalah dua di Perumahan Ladang di Beluran iaitu Perumahan Ladang Reka Halus dan Perumahan Ladang Boustead Trunklin. Manakala Kampung Kayu Madang, Telipok, Kota Kinabalu; Kampung Batition, Kota Marudu dan Kampung Sunsuron, Tambunan turut dikenakan PKPD.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PKPD di 17 lokaliti di Kelantan dan Sabah yang dijadualkan tamat pada Khamis dilanjutkan sehingga 26 Ogos depan.

Jelasnya, tiga lokaliti di Kelantan melibatkan Kampung Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang iaitu Kampung Jedip WCT, Kampung Sendrop dan Kampung Seng Sang.

“Lokaliti di Sabah pula melibatkan 11 di Tuaran iaitu Kampung Betutai; Kampung Bolong Baru; Kampung Bontoi; Kampung Kindu; Kampung Lapasan; Kampung Serusop; Kampung Sungai Damit; Kampung Timbok; Kampung Simpangan; Taman Sri Rugading dan Taman Telipok Ria.

“Satu lagi di Kampung Lahat-lahat, Pulau Sebatik, Tawau dan dua di Kinabatangan iaitu Ladang Bukit Mas dan Ladang Linbar 1,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Hishammuddin berkata, PKPD di tiga lokaliti di Kampung Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan iaitu Kampung Cekau, Kampung Lojing dan Kampung Penangau serta 17 lagi lokaliti di Sabah, dua di Pahang dan satu di Sarawak pula diputuskan untuk ditamatkan mulai Khamis.

Menurutnya, di Sabah, melibatkan Blok Angsana dan Blok Sumboi-Sumboi, Kampung Seberang Benoni, Papar; Kampung Pengalat Besar, Papar; tiga di Penampang (Apartment Taman Suria, Kampung Mangkadatan Notoruss, Taman Penampang Fasa 2); masing-masing dua di Tawau (Taman Perwira Ranggu, Blok 5 Kampung Titingan), Tenom (Kampung Mamaitom, SKIM Kuala Tomani) dan Putatan (Kampung Meruntum Fasa 3, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Keramat).

“Selain itu, lain-lain lokaliti di Sabah juga melibatkan Kampung Talantang 1, Kota Marudu; Kampung Ayer, Kudat dan empat di Sandakan iaitu Flat LPPB Sri Taman; Lorong 1-8, Taman Kenari dan Taman Mawar dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni.

“Di Pahang pula membabitkan Taman Amalina Lestari, Raub dan Ladang Bukit Berembun, Mukim Keratong, Rompin, diikuti satu di Sarawak iaitu Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 & 2, Dalat, Mukah,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, susulan pemeriksaan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan pada Selasa, sebanyak 30 premis sektor perkilangan dan perniagaan diarahkan tutup serta-merta manakala 173 individu dikompaun dan 17 lagi direman berikutan gagal mematuhi SOP ditetapkan.