Kerajaan gagal dan kerajaan sempurna

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS beberapa bulan Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kes harian Covid-19 sekitar 5,000 hingga 30,000 sehari, namun sejak dua minggu lalu varian Delta mula membadai negara Uncle Sam itu menyebabkan kes meningkat semula.

Peningkatan paling tinggi ialah pada 3 Ogos lalu apabila kes harian di AS melonjak sehingga 195,000 kes sehari.

Jika dibandingkan, angka tersebut jauh lebih tinggi daripada kes Oktober tahun lalu iaitu sewaktu AS di bawah pentadbiran Donald Trump.

Pada bulan terakhir Trump di Rumah Putih, jumlah kes harian di AS sekitar 80,000 kes dan ketika itu seluruh dunia belum memulakan program vaksinasi.

Bagaimanapun pada pemilihan Presiden AS tahun lalu, sudah tentunya kes yang tinggi dan kemelesetan ekonomi menjadi senjata kempen calon Demokrat, Joe Biden merampas kerusi Presiden.

Biden dalam kempen-kempennya berjanji untuk membebaskan rakyat AS daripada penderitaan Covid-19 dan menyifatkan Trump gagal dalam tugasnya sebagai Presiden.

Ironinya selepas lebih 10 bulan, Biden masih dibelenggu dengan peningkatan kes Covid-19 akibat varian koronavirus yang bermutasi.

Di Malaysia, sejak beberapa bulan lalu juga, kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut dicanang sebagai kerajaan gagal oleh lawannya.

Artikel Berkaitan:

Dengan kes harian yang juga makin meningkat dan kini sudah mencapai angka 20,000 sehari, sudah tentunya gelaran tersebut memberi kesan kepada PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun cuba bertahan daripada asakan politik itu, namun kesan luka PN semakin serius apabila kali ini lawannya datang dari dalam rakan gabungan sendiri.

Dengan 15 orang ahli Parlimen UMNO sudah mengesahkan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, Muhyiddin berdepan tugas besar dalam mencari ‘keajaiban’ pada September ini.

Bagaimanapun, ramai yang tertanya adakah tsunami politik ketika negara masih bergelut dengan kemuncak pandemik Covid-19 adalah percaturan yang betul.

Adakah selepas ini, rakyat akan mendapat sebuah kerajaan yang sempurna sekali gus melenyapkan derita rakyat daripada Covid-19.

Jika mengambil kes AS sebagai perbandingan, malah jika kita melihat di mana-mana negara di seluruh dunia, tidak ada kerajaan yang sempurna dalam peperangan dengan Covid-19.