Polis tahan majikan disyaki dera, tidak bayar gaji pekerja

Polis menahan seorang pemilik kedai di Jalan Dato' Pathmanaban di sini pada Isnin kerana disyaki mendera dan tidak membayar gaji seorang pekerjanya. Gambar hiasan
Polis menahan seorang pemilik kedai di Jalan Dato' Pathmanaban di sini pada Isnin kerana disyaki mendera dan tidak membayar gaji seorang pekerjanya. Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menahan seorang pemilik kedai di Jalan Dato' Pathmanaban di sini pada Isnin kerana disyaki mendera dan tidak membayar gaji seorang pekerjanya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan kira-kira jam 7 malam itu dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (D3) Bukit Aman dibantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

"Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang berada di belakang premis perniagaan yang mengaku sebagai pemilik kedai.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang dalam kedai, polis menyelamatkan seorang lelaki warga India berumur 27 tahun yang disyaki telah didera dan tidak dibayar gaji oleh pemilik kedai berkenaan yang merupakan majikannya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja di situ kira-kira setahun enam bulan.

Dalam tempoh tersebut, katanya, mangsa tidak dibayar gaji, malah dipukul dan pasportnya telah dipegang majikan tersebut.

"Pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan di dalam sebuah kenderaan milik majikan dan menjumpai pasport milik mangsa.

"Turut dirampas ialah telefon bimbit, salinan lesen perniagaan, satu rangkai anak kunci premis, satu utas tali, sebatang kayu rotan dan satu tali pinggang yang disyaki digunakan untuk memukul mangsa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Aidi Sham berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian telinga, luka di jari dan pergelangan tangan.

"Kedua-dua individu itu bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Port Dickson untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambah Aidi Sham, Mahkamah Seremban membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula Selasa terhadap majikan berkenaan, manakala mangsa telah dibenarkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) selama 21 hari dan akan ditempatkan di Rumah Perlindungan Melaka.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 15 tahun atau denda," jelas beliau.