Cubaan seludup 4,000 liter diesel ke Thailand gagal

Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mengesan aktiviti penyeludupan minyak diesel didalangi bot nelayan tempatan. - Foto Maritim Malaysia
Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mengesan aktiviti penyeludupan minyak diesel didalangi bot nelayan tempatan. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KANGAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot pukat hanyut Kelas A yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan minyak diesel pada jarak lebih kurang 0.5 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis pada jam 1.15 pagi Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dilakukan, APMM mendapati terdapat aktiviti penyeludupan minyak diesel yang didalangi bot nelayan tempatan dan beroperasi di sekitar muara sungai Kuala Perlis.

“Berikutan itu, Zon Maritim Kuala Perlis telah mengatur gerak pasukan operasi untuk melakukan serbuan ke lokasi yang dikenal pasti dan telah mengesan dua suspek mengemudi bot dalam keadaan mencurigakan dari jeti nelayan Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand sekitar 12.50 tengah malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa

Mohd Shafie berkata, setelah menyedari kehadiran bot penguat kuasa, suspek bertindak memecut laju namun berjaya dipintas.

“Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan berumur 58 tahun dan warga Thailand berumur 18 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“APMM menemukan satu ruang tangki memuatkan lebih kurang 4,000 liter diesel dengan nilai anggaran RM8,600 di bahagian hadapan bot yang telah diubah suai dan disyaki cuba diseleweng serta diseludup keluar ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan berjadual minyak petrol dan diesel dengan niat untuk melakukan kesalahan untuk menjual barangan kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki negara Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Katanya, bot serta hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Suspek yang ditahan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah bagi menjalani saringan kesihatan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga. - Bernama