Kon Yeow, Rayer selesai beri keterangan

Rayer memberi keterangan di IPDTL selama dua jam berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.
Rayer memberi keterangan di IPDTL selama dua jam berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selesai memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan ahli Parlimen di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

Kon Yeow berkata, sesi rakaman keterangan itu dilakukan di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pada jam 10 pagi Selasa.

"Saya telah selesai memberikan kenyataan kepada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Daerah Timur Laut (IPDTL) pagi ini berhubung siasatan perhimpunan ahli-ahli Parlimen yang berlangsung di ibu negara pada 2 Ogos 2021.

"Sesi tersebut berlangsung selama 45 minit bermula jam 10 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut hadir di IPDTL untuk memberikan keterangan berhubung perkara sama pada jam 9.45 pagi

Rayer meluangkan masa selama dua jam bagi merakamkan keterangan berhubung perhimpunan terbabit yang disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Difahamkan, Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga akan hadir ke IPDTL pada jam 1 petang esok (Rabu) untuk merakamkan keterangan berhubung perkara sama.

Artikel Berkaitan:

Perhimpunan turut disertai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden parti itu yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesemua mereka juga telah diambil keterangan oleh polis.

Minggu lalu, puluhan ahli Parlimen pembangkang berarak menuju semula ke Parlimen selepas berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10.20 pagi, 2 Ogos lalu.

Mereka berarak beramai-ramai berjalan kaki sambil membawa sepanduk meminta Perdana Menteri dan anggota kabinet meletakkan jawatan.

Selain Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), turut kelihatan Ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang.

Sementara itu, di Dataran Merdeka, beberapa Ahli Parlimen kelihatan menyampai ucapan antaranya Tun Mahathir, Anwar dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Ahli Parlimen berkenaan berkumpul di Dataran Merdeka selepas laluan masuk ke Parlimen dikawal ketat oleh pihak berkuasa selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang dilihat cuba memasuki bangunan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis akan panggil individu, ahli Parlimen terlibat himpunan

[VIDEO] Tun M akui tidak sepatutnya sertai himpunan di Dataran Merdeka

Polis rakam keterangan Tun M, Mukhriz