Peniaga gagal patuhi SOP 'dine in' boleh dikompaun

Pelanggan yang lengkap dengan dua dos vaksin Covid-19 mula menjamu selera di sebuah restoran di Kubang Kerian bermula pada Selasa selepas kelonggaran itu diberikan oleh kerajaan.
Pelanggan yang lengkap dengan dua dos vaksin Covid-19 mula menjamu selera di sebuah restoran di Kubang Kerian bermula pada Selasa selepas kelonggaran itu diberikan oleh kerajaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan hanya pelanggan yang lengkap vaksinasi Covid-19 sahaja dibenarkan menjamu selera kedai mereka boleh dikenakan kompaun.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, pemantauan pihaknya di kedai-kedai makan di sekitar Kota Bharu akan dilakukan bermula Selasa.

Beliau berkata, peniaga kedai makan bertanggungjawab dalam memastikan pelanggan yang makan di kedai mereka memiliki Sijil Vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan menerusi MySejahtera di telefon bimbit mereka.

“Mereka yang ingin menjamu selera di kedai perlu tunjuk Sijil Vaksinasi Covid-19 dan peniaga tidak boleh ambil mudah membenarkan pelanggan makan di kedai mereka termasuk perlu menyediakan penjarakkan fizikal kedudukan meja dan kerusi serta pengimbas suhu.

“Kegagalan peniaga untuk mematuhi SOP ini boleh diambil tindakan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (342),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Tuan Zainal Abidin berkata, seramai 85 anggota penguat kuasa MPKB-BRI terbabit dalam pemantauan dan penguatkuasaan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari masa ke masa.

“Paling penting rakyat perlu terus patuhi SOP walaupun kerajaan memberi kelonggaran sosial kepada individu lengkap vaksinasi Covid-19 untuk makan di kedai dan rentas negeri serta daerah bersyarat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu operasi perniagaan di Pasar Siti Khadijah berjalan seperti biasa dan menafikan maklumat berkaitan penutupan pasar itu yang didakwa berkaitan kes kematian Covid-19 seperti mana rakaman audio tular di media sosial sejak Isnin.

Artikel Berkaitan:

“Penularan berita penutupan Pasar Siti Khadijah adalah palsu yang dibuat tanpa sumber rasmi daripada pihak berkuasa.

“MPKB-BRI memandang serius perkara ini dan akan membuat laporan polis bagi menyiasat sumber rakaman tersebut serta meminta orang ramai supaya selidik kebenaran berita yang diterima,” katanya.