Bot pukat tunda guna kod palsu ditahan

A
A
A

BAYAN LEPAS - Sebuah bot pukat tunda zon C dan empat nelayan ditahan Pasukan Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pulau Pinang dalam Ops Harimau pada Ahad.

Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung aktiviti haram itu.

"Operasi yang bermula jam 2.10 petang itu berjaya menahan bot tersebut pada kedudukan 4.7 batu nautika dari Pulau Rimau.

"Hasil pemeriksaan, terdapat empat nelayan warga tempatan berusia lingkungan 35 hingga 60 tahun," katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pulau Pinang pada Isnin.

Beliau berkata, turut dirampas ialah peralatan menangkap ikan dan 500 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan RM650,000.

"Pemeriksaan juga mendapati nelayan-nelayan ini melekat kod palsu iaitu Zon B1 sedangkan kelas bot tersebut adalah kelas C. Kesemua nelayan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Noraisyah berkata, kesemua nelayan itu telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vesel tersebut.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000, peralatan menangkap ikan dirampas dan lesen vesel digantung selama setahun.

Artikel Berkaitan:

"Saya memohon kepada semua pihak yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti haram ini agar menyalurkannya kepada kami. Ini kerana, aktiviti menangkap ikan di kawasan yang salah akan menyebabkan ekosistem hidupan laut akan terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Noraisyah berkata, sebanyak 17 tangkapan bot tunda dilakukan pihaknya pada 2018 dan meningkat pada 2019 iaitu dengan 28 tangkapan.

"Pada tahun lalu, kita berjaya menangkap 26 bot tunda dan tahun ini sehingga semalam, sudah mencatatkan 27 tangkapan. Dengan trend peningkatan tangkapan ini, kita akan mempergiatkan lagi operasi untuk menahan mereka yang terlibat.

"Dari 2018 hingga semalam, jumlah tangkapan bot tunda adalah 98 dengan kira-kira 392 nelayan turut ditahan," katanya.