39 usahawan desa terima pembiayaan SPED

 Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 39 usahawan desa yang berpotensi dan dikenal pasti melalui penglibatan dalam Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (Inotekdesa) tahun lepas menerima pembiayaan perniagaan bernilai RM2.8 juta di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata Inotekdesa yang berlangsung di Melaka pada November lepas telah menemukan usahawan dengan pihak yang boleh mengembangkan perniagaan mereka dan suntikan dana diperlukan bagi tujuan tersebut.

Katanya SPED menawarkan bantuan pembiayaan tanpa syarat yang ketat iaitu mereka yang memohon hanya perlu mempunyai lesen perniagaan dan telah terlibat dalam bidang itu sekurang-kurangnya setahun.

"Pembiayaan dengan tempoh bayaran balik selama lima tahun itu berupaya membantu usahawan melonjakkan perniagaan sedia ada ke satu tahap yang lebih tinggi selepas ini,” katanya selepas menyerahkan kemudahan SPED itu kepada usahawan desa tersebut pada majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Rina, SPED turut memberi tumpuan kepada usahawan baharu yang terbabit dalam 12 kluster perniagaan, antaranya kecantikan, makanan dan peruncitan.

"Lebih menarik, usahawan yang menjelaskan pembiayaan secara teratur akan diberikan rebat 30 peratus daripada nilai keseluruhan pinjaman, katanya.

Dalam pada itu, Rina berkata Karnival Usahawan Desa (KUD) yang dikenal pasti berjaya dalam misi mengukuh dan meningkatkan jaringan perniagaan usahawan luar bandar dengan pembekal, akan diadakan semula di Putrajaya pada Oktober depan.

Katanya sebelum acara kemuncak pada 17 hingga 21 Oktober itu, pihaknya akan mengadakan jelajah KUD di empat negeri bermula 29 Mac di Pulau Pinang, diikuti Terengganu, Kedah dan Sabah.

Artikel Berkaitan:

Seramai 1,700 usahawan luar bandar dijangka menyertai KUD 2019 berbanding 800 peniaga pada penganjuran sebelum ini, katanya.- Bernama