Pahang tidak terima kertas cadangan bina taman tema di Cameron Highlands

Mohd Sharkar Shamsuddin
Mohd Sharkar Shamsuddin
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan negeri Pahang tidak menerima sebarang kertas cadangan daripada mana-mana pihak untuk pembinaan taman tema di Cameron Highlands setakat ini.

Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, sekiranya menerima permohonan, kajian terperinci perlu dilakukan dahulu untuk memastikan kawasan peranginan yang mempunyai kira-kira 40,000 penduduk itu tidak terjejas.

Menurut beliau, sebarang pembangunan atau projek tidak boleh dilakukan sesuka hati di kawasan peranginan terkenal itu.

"Cameron Highlands adalah kawasan tanah tinggi yang terkenal dengan keunikan serta kekayaan alam semula jadi selain menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

“Jadi sebarang bentuk pembangunan yang mahu dilaksanakan perlu mengambil kira pelbagai aspek, bukan berorientasikan keuntungan semata-mata," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebuah syarikat dengan 20 tahun pengalaman sebelum ini dilaporkan bakal membangunkan sebuah taman tema melibatkan pelaburan lebih RM100 juta dalam tempoh 10 tahun di kawasan peranginan tersebut.

Situasi itu mendapat bantahan daripada orang ramai yang melancarkan petisyen melalui laman web change.org dengan tanda pagar #SaveCameronHighlnds.

Mohd Sharkar berkata, sebarang projek yang mahu dilaksanakan perlu dikaji secara teliti dari segala aspek sebelum diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, faktor yang akan dilihat termasuklah dalam aspek alam sekitar, kesesakan lalu lintas, keperluan serta kesan positif dan keuntungan yang diperoleh tanah tinggi itu sekiranya taman tema dibina.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang itu berkata, Cameron Highlands tidak dilengkapi dengan sistem jalan raya yang besar hingga mampu memuatkan ribuan kenderaan pada satu-satu masa.

Ujarnya, ia boleh dilihat boleh lihat sendiri setiap kali musim cuti persekolahan, jalan raya di kawasan itu menjadi sesak.

Dalam pada itu, beliau berkata, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands sedang dalam proses menambah baik jaringan pengangkutan dan sistem jalan raya bagi keselesaan serta keselamatan orang ramai.

Katanya, perkara tersebut perlu dilakukan secara berperingkat agar ia tidak mendatangkan sebarang implikasi negatif ke atas lokasi pelancongan terkenal itu.

Sementara itu, Mohd Sharkar juga memberikan jaminan pandangan semua pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam usaha memulihara alam sekitar akan diambil kira dan mengalu-alukan sebarang pandangan, cadangan sebelum kerajaan negeri membuat sebarang keputusan.