'Saya minta maaf sangat-sangat' - Azizulhasni

TOKYO, 8 Ogos -- Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang kelihatan sedih selepas perlumbaan akhir keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrom, Shizuoka, di sini, hari ini.- Foto Bernama
TOKYO, 8 Ogos -- Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang kelihatan sedih selepas perlumbaan akhir keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrom, Shizuoka, di sini, hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Di hadapan khalayak, Datuk Azizulhasni Awang kelihatan tenang selepas final acara keirin lelaki pada hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, Shizuoka hari ini.

Pelumba berusia 33 tahun itu tetap tenang menjawab semua soalan dilontarkan kepadanya semasa ditemu bual wartawan selepas perlumbaan walaupun beliau benar-benar kecewa selepas menduduki tempat kedua di belakang Jason Kenny dari Great Britain.

Pingat gangsa milik juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.

Ketika temu bual, Azizulhasni sekali sekala kelihatan sedih dan mengalirkan air mata kerana gagal menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik, apabila memenangi pingat perak.

Namun, ketika bersemuka dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu jelas tidak dapat menyembunyikan kesedihan.

Sambil menangis teresak-esak, Azizulhasni berkali-kali meminta maaf kerana gagal menunaikan harapan seluruh rakyat Malaysia itu.

“Saya minta maaf sangat-sangat,” katanya yang meraih pingat Olimpik pertamanya pada edisi Rio 2016 dengan pingat gangsa dalam acara keirin, selepas gagal melayakkan ke peringkat akhir temasya Beijing 2008, dan menduduki tempat keenam dalam edisi London 2012.

Reezal Merican dan Mohamad Norza kemudian memujuk Azizulhasni sambil menyatakan beliau sudah memberikan yang terbaik dan pencapaian itu menjadi kebanggaan negara.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk meminta maaf terhadap sesiapa pun.

Dikenali dengan gelaran “The Pocket Rocketman”, Azizulhasni menampilkan prestasi mengagumkan dan sudah memberikan yang terbaik dalam perlumbaan itu.

Pada saingan hari ini, Azizulhasni mendapat tempat kedua dalam acara keirin lelaki selepas ketinggalan 0.763 saat di belakang pelumba Great Britain itu yang mempertahankan kemenangannya di temasya Olimpik Rio pada 2016.

Pencapaian Azizulhasni itu merupakan pingat kedua negara selepas pasangan beregu lelaki badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gangsa.

Ditanya sama ada beliau akan terus bersaing pada Olimpik 2024 di Paris, kata Azizulhasni mengikut perancangan memang beliau berhasrat bersaing pada temasya sukan itu.

Namun Azizulhasni berkata, selepas temasya Olimpik Tokyo, beliau ingin berehat terlebih dahulu selepas pelbagai suka dan duka ditempuhinya sebelum beraksi pada temasya sukan di Tokyo itu.

“Semasa menjalani latihan pusat, saya terpaksa tinggalkan lama isteri dan anak-anak di Melbourne sedangkan anak-anak sedang membesar.

“Semasa saya hendak berlepas ke Tokyo, saya dapat tahu ayah saya pula dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana diserang mild strok. Tetapi saya perlu laksanakan tanggungjawab saya kepada negara,” katanya.

Beliau turut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menyumbangkan pingat emas pertama kepada Malaysia walaupun sudah melakukan yang terbaik sehinggalah di saingan final. -Bernama