Aiman Tino pasang strategi

A
A

SUATU ketika dahulu nama Aiman Tino seolah-olah wajib ada dalam senarai artis kalangan BBNU namun entah bagaimana tiba-tiba sahaja kerlipan bintang penyanyi ini seakan tenggelam dalam jutaan bintang-bintang yang lain.

Mungkin disebabkan pada pertengahan September lalu, penyanyi popular Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta ini dimasukkan ke hospital kerana didapati menghidap gastrik selain mengalami masalah tekak bengkak.

Bercakap kepada Sinar Harian, Aiman Tino atau nama lengkapnya Mohammad Aiman Yusri, mengakui namanya kini agak kurang menyerlah.

"Mungkin tahun lalu saya terlalu lama menyepi dari radar seni sebab jatuh sakit. Tapi kini setelah mendapatkan rawatan, alhamdulillah saya semakin sembuh serta suara pun dah OK.

"Oleh itu pada tahun ini insyaALLAH saya akan bekerja keras lagi untut kejar momentum macam tahun-tahun sudah. Yang penting saya sihat. "Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan saya," kata Aiman.

Menceritakan perkembangan dirinya yang mahu aktif semula, Aiman kini sibuk dalam fasa mempromosikan lagu terbaharu berjudul Terlerai Sebuah Janji.

Untuk rekod, single terbaharu muzik video Aiman sudah meraih tontonan sebanyak 1.5 juta, manakala video lirik pula mendapat 485,000 tontonan setakat hari ini.

Sebagai langkah untuk menyerlah semula, Aiman bakal tampil dengan lagu yang bukan menceritakan kisah cinta daripada kebiasaan lagu-lagu sedia ada. Namun masih lagi lagu-lagu yang dekat dengan jiwa orang Melayu.

Oleh itu, anak muda ini juga menolak untuk menyanyikan lagu Inggeris buat masa ini.

"Sejujurnya secara peribadi saya rasa masih terlalu jauh lagi untuk membawakan lagu Inggeris sebabnya saya pernah buat cover dan komen di laman sosial pun tak memberangsangkan, apatah lagi like kurang. "Mungkin pendengar saya masih ramai lagi lebih dekat dengan lagu Melayu," ujarnya.

Ditanya pula mungkinkah ada gimik yang hendak dilakukan untuk mencuri perhatian peminat? Jelas Aiman, tidak ada gimik yang hendak dilakukan.

Hadiah restoran

Aiman Tino bersama ibu bapa
Aiman Tino bersama ibu bapa

Jika sebelum ini Aiman pernah membuka sebuah Restoran Asam Pedas buat ibu bapanya, tahun ini dia sekali lagi Aiman menghadiahkan sebuah restoran baharu yang dikenali D’Kerutuk terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor, menghidangkan makanan pantai timur.

"Kedai baharu ini dibuka pada setiap hari bermula tengah hari hingga jam 11 malam, kecuali hari Jumaat cuti.

"Syukur saya dapat buka lagi sebuah kedai makan baharu untuk kedua-dua orang tua saya dan inilah hadiah yang termampu saya berikan untuk mereka.

"Sedikit sebanyak dapat membantu menjana pendapatan keluarga selain sebagai perancangan jangka panjang untuk masa hadapan nanti.

"Semoga usaha saya ini dapat membahagiakan kedua orang tua dan memberikan kehidupan selesa buat kami sekeluarga," akhirinya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia