Wanita PH Negeri Sembilan sokong Ain Husniza

Nicole Tan. Gambar kecil: Ain Husniza
Nicole Tan. Gambar kecil: Ain Husniza
A
A
A

SEREMBAN - Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyatakan solidariti terhadap pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam yang kini berdepan dengan saman fitnah RM1 juta kerana bersuara menentang jenaka tidak senonoh.

Ketuanya, Nicole Tan berkata, pihaknya sangat kecewa apabila mengetahui Ain Husniza yang memberi maklumat dengan mendedahkan jenaka rogol tidak senonoh di sekolah itu, kini berdepan saman oleh gurunya.

"Sejak mendedahkan jenaka rogol itu, Ain telah menjadi sasaran ancaman rogol termasuk turut disiasat polis.

"Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendakwa tindakan telah diambil terhadap guru itu dengan memindahkannya ke Jabatan Pendidikan negeri, tetapi Ain nampaknya menghadapi masalah apabila menerima notis tuntutan daripada peguam guru tersebut.

"Mengapa pemberi maklumat yang dihukum kerana bersuara, sedangkan pelaku tidak menerima hukuman? Kita seolah-olah tidak menyokong pelajar tersebut tetapi 'memaafkan' pula perbuatan guru itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kenyataan tersebut turut disokong Timbalan Ketua Wanita PH negeri, Norwani Ahmat; Ketua Wanita Keadilan negeri, Amni Razin dan Ketua Wanita DAP negeri, Mary Josephine.

Nicole berkata, pihaknya mendesak supaya pihak sekolah dan KPM memandang serius masalah berkenaan serta menghentikan tingkah laku guru yang tidak senonoh dengan mengambil tindakan sewajarnya.

"Ain mempunyai hak untuk bersuara dan ini termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Malangnya Ain yang masih remaja itu seolah-olahnya dihukum kerana tindakan berani bersuaranya itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita harus menyokong Ain kerana bersuara dan bukannya menghukum beliau," katanya.

Pada 24 April, media melaporkan seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol dalam sesi pendidikan itu.