Kantoi curi diesel bersubsidi

Ketika serbuan, salah sebuah lori tangki berkenaan sedang memindahkan diesel ke skid tank di sebuah stor tidak berlesen.
Ketika serbuan, salah sebuah lori tangki berkenaan sedang memindahkan diesel ke skid tank di sebuah stor tidak berlesen.
A
A
A

SEBERANG PERAI SELATAN- Dua buah lori tangki minyak disita selepas dipercayai menjual diesel bersubsidi kepada industri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kedua-dua buah lori itu disita bersama dua pemandunya yang berusia 29 dan 45 tahun di sebuah stor tidak berlesen di Juru, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Sapiah Mohd Nor berkata, ketika serbuan dibuat, lori tangki itu sedang memindahkan bahan api tersebut ke sebuah 'skid tank'.

Menurutnya, diesel bersubsidi tersebut sepatutnya dibawa ke sebuah jeti nelayan namun telah dibawa ke sebuah stor untuk dijual dengan harga industri kepada pihak ketiga.

"Serbuan ini dibuat selepas risikan dibuat sejak beberapa minggu lalu. Ketika serbuan dibuat, diesel yang dibawa dari depo ini sedang dipindahkan ke salah sebuah skid tank sebelum dijual kepada pihak lain. Kita percaya, ia didalangi oleh sebuah sindiket kerana melibatkan beberapa pihak.

"Terdapat tiga skid tank di stor ini bagi memindahkan diesel yang dibawa dari depo. Dipercayai, diesel bersubsidi ini dijual kepada pihak ketiga dengan harga industri yang akan memberi keuntungan kepada sindiket berkenaan," katanya kepada media di sini tadi.

Jelasnya, sebuah lori tangki berkenaan mampu membawa 19,110 liter diesel untuk sekali perjalanan.

"Ketika ditahan, sebuah lori kosong manakala sebuah lagi berisi diesel. Dalam skid tank itu juga sudah terdapat diesel dipercayai telah diisi sebelum serbuan dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan diesel yang dirampas adalah 45,000 liter dengan anggaran nilai RM180,000. Siasatan awal mendapati, ia adalah diesel subsidi kepada sebuah agensi yang berkaitan dengan pertanian namun dijual kepada industri dengan harga industri," katanya.

Sapiah berkata, kedua-dua pemandu lori berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan. Jika sabit kesalahan, bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

"Manakala bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan seterusnya," katanya.