KPDN rampas 37,570 liter minyak diesel bersubsidi

Penguatkuasa KPDN memeriksa lokasi penemuan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi
Penguatkuasa KPDN memeriksa lokasi penemuan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi
A
A
A

PORT DICKSON - Sebanyak 37,570 liter minyak diesel bersubsidi berjaya dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Op Tiris di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Nipah, di sini pada Rabu.

Pengarah KPDN berkata, serbuan dilakukan bermula jam 11.30 pagi itu menemui premis terbuka yang mempunyai dua 'skid tank' dan dua lori tangki dalam keadaan enjin masih hidup.

"Pemeriksaan menyeluruh mendapati terdapat minyak disyaki diesel ditemui dalam 'skid tank' dan lori tangki. Kita dapati berlaku proses pemindahan minyak diesel dari lori tangki satu ke dalam lori tangki kedua.

"Tiada individu ditemui berada di premis dan disyaki melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan," katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, tindakan sitaan dibuat bagi kesalahan di bawah Seksyen 21 AKB 1961 iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

Serbuan turut menemui dua lori tangki dalam keadaan enjin masih hidup untuk memindah minyak diesel.
Serbuan turut menemui dua lori tangki dalam keadaan enjin masih hidup untuk memindah minyak diesel.

"Turut disita dua lori tangki yang menjadikan anggaran nilai rampasan berjumlah RM114,775.50" katanya.

Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes terbabit dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat.

"Ia termasuk mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut serta sumber minyak diesel berkenaan diperoleh dan diedarkan," katanya.