Negara belum pernah saksi kemelut sebegini rupa

Semua ahli politik perlu ketepikan ideologi politik masing-masing dan tampil bantu kerajaan serta utamakan agenda rakyat melalui PPN. - Foto Bernama
Semua ahli politik perlu ketepikan ideologi politik masing-masing dan tampil bantu kerajaan serta utamakan agenda rakyat melalui PPN. - Foto Bernama
A
A
A

KEMELUT politik semasa yang dilalui Malaysia sejak kebelakangan ini ternyata semakin menggoyah kestabilan dan keteguhan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan negara.

Senario kesulitan dihadapi jentera politik tempatan bagaikan tiada kesudahan itu mencetus kegelisahan dalam kalangan rakyat jelata.

Menurut akhbar harian Tamil Malar, kegawatan politik itu boleh dikatakan belum pernah dibayangkan rakyat selepas dikurniakan nikmat kemerdekaan pada tahun 1957.

Politik negara beroperasi di bawah tampuk kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus dibadai arus kritikan dan tohmahan susulan tergugatnya keamanan politik, kegemilangan ekonomi serta kebebasan sosial awam.

Kerajaan PN yang kurang berjaya dalam memiliki majoriti mudah di institusi perundangan tertinggi Malaysia iaitu Parlimen sering berhadapan dengan variasi cabaran untuk mengimplementasikan pelan-pelan memulihkan negara selepas dilanda krisis kesihatan nasional akibat penularan Covid-19.

Dalam perkembangan politik terkini, kedudukan kerajaan PN telah dicabar sekali lagi apabila langkah kecemasan parti berkenaan telah menggugat kemasyhuran institusi diraja dan kepercayaan Yang di-Pertuan Agong.

Tamil Malar berkata, pada Sidang Parlimen 26 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan itu, Seri Paduka menzahirkan rasa dukacita melalui satu kenyataan rasmi dari Istana Negara dengan mengatakan kenyataan kerajaan itu tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai lalu telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

Kenyataan kerajaan yang bercanggah dan mengelirukan di Parlimen itu bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Tamil Malar menjelaskan lagi, institusi diraja dan Raja-raja Melayu disanjung tinggi sebagai lambang kebanggaan Malaysia yang dipelihara sehingga hari ini.

Tindakan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong turut mengguris hati seluruh rakyat Malaysia dan menimbulkan persoalan keperluan untuk bertindak terburu-buru demi menjaga kepentingan pihak tertentu.

Akhbar harian itu turut menyatakan bahawa pendekatan kerajaan PN secara tidak langsung memaparkan ketidakharmonian perhubungan antara Istana Negara dan tampuk kepimpinan kerajaan semasa.

Raja-raja Melayu berdiri sama dengan pihak kerajaan dan rakyat jelata ketika negara menerima ancaman pandemik covid-19.

Kerabat diraja juga turut serta melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan memastikan bekalan vaksin mencukupi dan disalurkan secepat mungkin di negeri masing-masing supaya kesihatan serta nyawa rakyat terjamin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri baru-baru ini telah menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk bertindak bercanggah dengan Yang di- Pertuan Agong. Sebaliknya semua tindakan yang diambil kerajaan PN adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin telah menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

Diharap polemik politik segera reda dan keutamaan wajib diberikan dalam menjaga kesihatan dan nyawa rakyat agar sistem kesihatan awam nasional bebas daripada bencana pandemik Covid-19.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor