Maritim tahan dua nelayan kerana langgar syarat sah lesen

No Image Caption
A
A
A

PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot gentian kaca bersama dua nelayan selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Kuala Gula, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, penahanan dilakukan selepas anggota APMM yang melakukan rondaan rutin mengesan bot tersebut bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan itu.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tekong bot itu merupakan lelaki tempatan dan krunya adalah lelaki warganegara Myanmar manakala kedua-duanya bukan pemilik asal bot berkenaan.

“Kru terbabit juga didapati tidak mempunyai permit dan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Sharenliza berkata, kedua-dua mereka, bot serta peralatan menangkap ikan itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

Beliau berkata, menggaji pendatang tanpa izin merupakan satu kesalahan dan boleh disiasat serta didakwa mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1969/63 yang boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurutnya para nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: